February 9, 2011

Harimau Malaya tak gentar dengan Hong Kong

(D5) - Kira-kira dua bulan lalu, Malaysia mencipta kejutan fenomena baru bola sepak tempatan dengan kejayaan Piala Suzuki AFF.

Kini tiba masanya buat skuad K. Rajagobal mengekalkan momentum tersebut tatkala peminat tempatan dahagakan aksi pasukan Harimau Malaya.

Pertemuan dengan Hong Kong bakal menjadi penanda aras buat anak-anak buah Rajagobal agar tidak terus terbuai dengan kejayaan tahun lalu.

BARISAN PEMAIN

Seramai 24 pemain dipanggil bagi persediaan menghadapi perlawanan pertama untuk tahun ini yang menyaksikan Rajagobal memanggil enam muka yang tidak beraksi di kejohanan Piala AFF lalu iaitu Aidil Zafuan Abdul Razak, Mohd Farizal Marlias, G Mahathevan, Shahrizal Saad, Ahmad Fakri Saarani dan S Chanturu.

Enam pemain pemain Harimau Muda A, K. Gurusamy, penyerang, Izzaq Faris Ramlan serta Mahali Jasuli, Mohd Muslim Ahmad, Mohd Fadhli Shas dan Mohd Faizal Mohd bakal mengukuhkan benteng Malaysia.

Rajagobal dijangkakan akan melakukan perubahan di bahagian pertengahan untuk memberi ruang kepada Aidil Zafuan untuk kembali memikul tugas selaku kapten pasukan yang sebelum ini digalas Safiq Rahim sepanjang ketiadaannya.

Dibahagian hadapan, sama ada Izzaq Faris atau Ahmad Fakri, Rajagobal dijangka akan menaruh kepercayaan buat dua pemain ini.

PEMAIN LAWAN TUMPUAN

Barisan pertahanan perlu berwaspada dengan kelibat ayam tambatan lawan, Chan Siu-ki.
Dalam usia 26 tahun, penyerang itu memiliki reputasi besar selaku penjaring terbanyak buat pasukan kebangsaan.

Dalam 33 penampilan antarabangsa, dia berjaya merobek sebanyak 26 kali gawang lawan.
Siku-ki pernah menjalani pemilihan di Tottenham Hotspur selain sering tidak menghampakan untuk merobek pasukan yang memiliki reputasi lebih besar seperti Jepun, maka tidak hairanlah jika akan diberi perhatian lebih malam esok.

REKOD PERTEMUAN

Tatkala Malaysia berada di kedudukan ke-140 dalam senarai ranking terbaru dunia yang dikeluarkan FIFA, kebelakangan ini, Hong Kong pula mencatatkan penurunan dan berada di ranking ke-143 walaupun suatu ketika berada di 117 lima tahun lalu.
Meskipun hanya berstatus perlawanan persahabatan, pasukan kelas A ini dianggap medan untuk menebus aib selepas pertemuan terakhir kedua-dua pasukan adalah pada tahun 2004 yang memihak kepada Hong Kong.

Pasukan negara tumbang sebanyak dua kali kepada lawan yang sama, 2-0 dan 1-3 bagi kelayakan Piala Dunia 2006.

Jurulatih Hong Kong, Tsang Wai Chung kembali menerajui pasukan itu sejak tahun lalu pasti memasang hajat besar untuk memusnahkan ego Harimau Malaya selaku kuasa baru bola sepak Asia Tenggara.

Dalam empat perlawanan terakhir di bawah bimbingannya, Hong Kong menang dua kali, seri sekali dan dibelasah 7-0 dalam perlawanan terakhir menentang Paraguay yang menurunkan barisan terkuat ketika bertandang di Asia.

Sudah pasti anak didik Wai Chung mendapat pengajaran berguna ketika menentang pasukan bertaraf dunia tersebut.

------
Senarai pemain yang menjalani latihan pusat:
Penjaga gol: Mohd Farizal Marlias, Mohd Sharbinee Allawee, Khairul Fahmi Che Mat.

Pertahanan: Mohd Azmi Muslim, Mohd Sabree Mat Abu, Mohd Asaruddin Putra Omar, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak, Mahali Jasuli, Mohd Muslim Ahmad, Mohd Fadli
Shas, Mohd Faizal Mohd.

Midfield: Amar Rohidan, Mohd Amirulhadi Zainal, Safiq Rahim, G. Mahathevan, S. Kunalan, Mohd Ashaari Shamsuddin. K. Gurusamy, Shahrizal Saad.

Penyerang: Mohd Safee Sali, Ahmad Fakri Saarani, S. Chanturu, Norsharul Idlan Talaha, Izzaq Faris Ramlan.