October 28, 2010

Hernandez Meledak Lagi


LONDON: Javier Hernandez menjaringkan gol ketiga dalam tempoh tiga hari bagi membantu Manchester United menewaskan Wolverhampton Wanderers 3-2 dan meneruskan usaha kelabnya memenangi kejuaraan Piala Liga buat kali ketiga berturut-turut, kelmarin.


Wolves dua kali menyamakan kedudukan dengan gol pertama mereka di Old Trafford sejak Februari 1980 tetapi Hernandez, yang masuk sebagai pemain gantian, berjaya melepasi kekangan pertahanan sebelum melepaskan ledakan menewaskan penjaga gol pada minit ke-90 dan menempah tiket ke suku akhir.
Bebe dan Park Ji-sung sebelum itu menjaringkan gol buat United.

Birmingham juga melepasi pusingan keempat tetapi kelab Liga Perdana itu memerlukan jaringan penyamaan pada masa kecederaan sebelum menumpaskan kelab divisyen tiga yang bergelut, Brentford 4-3 dalam penentuan sepakan penalti.

Ipswich menundukkan Northampton 3-1, Wigan menewaskan Swansea 2-0 dan West Bromwich Albion menang 4-1 di Leicester.

Pengurus United, Alex Ferguson menyenaraikan barisan kedua termasuk penjaga gol, Ben Amos, pemain sayap Gabriel Obertan dan penyerang Portugal, Bebe yang membarisi kesebelasan utama buat kali pertama sejak menyertai kelab itu Ogos lalu.
Tetapi jaringan penyamaan George Elokobi dan Kevin Foley memaksa Ferguson memasukkan Hernandez pada minit ke-81 yang menjaringkan dua gol ketika menang 2-1 dalam saingan Liga Perdana di Stoke, Ahad lalu.

“Dia mempunyai sikap yang baik dalam permainan dan sentiasa mahu belajar,” kata pertahanan United, Wes Brown. “Dia bekerja keras dan akhirnya berjaya menjaringkan gol.” – AP

Sumber: Berita Harian