August 2, 2010

Pro & Kontra: Tugas besar nanti pemimpin baru FAM

WALAUPUN tidak terpilih sebagai naib presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada kongres kali ke-47 Sabtu lalu, saya menerima keputusan dengan hati terbuka.

Tahniah kepada yang dipilih untuk berada dalam kepimpinan Tuanku Sultan Ahmad Shah yang menang tanpa bertanding untuk jawatan Presiden dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah yang dipilih semula sebagai Timbalan Presiden serta Tan Sri Annuar Musa.

Empat naib presiden kali ini ialah Datuk Subahan Kamal dan Datuk Hamidin Mohd Amin dari Selangor, Datuk Afandi Hamzah dari Kelantan dan Datuk Abdullah Hishan Mohd Hashim dari Perak.

Tidak seperti sebelum ini, kebanyakan naib presiden kali ini adalah dari kalangan mereka yang bukan saja memegang jawatan penting di peringkat negeri, tetapi juga pernah menjadi pengurus pasukan bola sepak negeri.

Saya bersyukur kerana ketika pertama kali terpilih menjadi naib presiden pada 1998, saya juga menjadi pengurus pasukan Perak yang menjuarai Piala FA 1990, Piala Malaysia 1998 dan 2000.

Tengku Abdullah juga pernah menjadi pengurus skuad kebangsaan, pernah menjadi presiden Persatuan Negeri Bola Sepak Pahang manakala Annuar kini adalah Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan.

Kepada yang menang, saya berharap mereka dapat bekerja rapat membantu presiden membangunkan bola sepak dan tidak sesekali menyimpan agenda peribadi, seperti yang dititah Sultan Ahmad Shah ketika berucap merasmikan kongres berkenaan.
Nasihat ikhlas saya ialah jalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan dedikasi kerana kerusi dan jawatan panas mereka akan menjadi penilaian empat tahun dari sekarang.

Sumber: Berita Harian