August 18, 2010

'Jangan biar atlit jadi korban'


"SEBAGAI seorang yang meminati dan mencintai sukan, saya yakin Presiden (Datuk Seri Shahidan Kassim) tidak tergamak membiarkan impian atlit untuk beraksi di Sukan Komanwel dan Asia berkubur semata-mata kerana hutang,” kata pengurus olahraga ke Sukan Komanwel, M Iyaru, semalam.

Dia mengulas mengenai kemungkinan atlit yang sudah layak ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia tidak dibenarkan beraksi pada kedua-dua temasya itu selepas Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) masih belum menjelaskan hutang kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Mesyuarat Majlis MOM, bulan lalu memutuskan persatuan sukan kebangsaan yang masih belum melunaskan pembiayaan atlit Kategori B ke Sukan SEA Laos, tahun lalu tidak dibenarkan beraksi pada kedua-dua temasya itu.

“Saya percaya beliau akan menyelesaikan masalah hutang tertunggak itu,” katanya yang juga Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Perlis (PAAA) ketika majlis memperkenalkan atlit olahraga yang layak beraksi pada kedua-dua temasya itu di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

Hadir sama Pengarah Persediaan Atlit MSN, Ahmad Shapawi Ismail dan Pengurus Sukan Olahraga MSN, Datuk M Magendran.

Seramai empat atlit olahraga layak beraksi atas Kategori A pada Sukan Komanwel iaitu Teoh Boon Lim dan Lo Choon Seng (20 kilometer jalan kaki), Lee Hup Wei (lompat tinggi), M Vadivelan (800 meter), manakala tiga atlit P Yuvaraj (400m), Roslinda Samsu (lompat bergalah) dan Siti Zubaidah Adabi (100m) atas Kategori B.
Hup Wei dan Roslinda turut layak beraksi dalam Sukan Asia atas Kategori A yang turut disertai kuartet 4x100m wanita dianggotai Norjannah Hafiszah Jamaluddin, Nurul Sarah Abdul Kadir, Siti Zubaidah dan Yee Yi Ling.

Sementara itu, Ahmad Shapawi berkata, pihaknya menyerahkan kepada KOAM dan MOM menyelesaikan masalah hutang itu.

“Terpulang kepada KOAM menyelesaikan masalah hutang itu dengan MOM. Kita harap ia dapat diselesaikan agar membolehkan atlit yang sudah berlatih bersungguh-sungguh ini dapat beraksi,” katanya.

Sumber:Berita Harian