August 22, 2010

Inter Milan batal hajat dapatkan Mascherano


LIVERPOOL: Roy Hodgson, semalam menegaskan Inter Milan sudah menarik diri daripada usaha mereka mendapatkan khidmat Javier Mascherano.


Perkembangan terbaru itu kini menceritakan pemain tengah Agentina itu berdepan sekurang-kurangnya tempoh enam bulan lagi di Anfield sekalipun bertegas mahu berpindah.

Mascherano mahu keluar dari Liverpool ketika isterinya dikhabarkan tidak dapat menyesuaikan diri di England, tambahan bekas pengendali kelab berkenaan, Rafael Benitez berminat membawa pemain itu ke Inter bagi saingan Serie A.
Benitez juga dikhabarkan mahu mendapatkan Dirk Kuyt tetapi Hodgson mendedahkan Presiden Inter Milan, Massimo Moratti sudah memberitahunya mereka tidak akan cuba membeli mana-mana pemain bintang dari Anfield.

“Saya berbual dengan Moratti Rabu lalu mengenai hakikat mereka tidak akan membeli pemain Liverpool dan Dirk sudah pasti dalam kategori itu.”

Ejen Kuyt, Rob Jansen masih mendakwa Inter mahukan penyerang Belanda itu sekalipun Hodgson menafikan dengan berkata: “Ini tidak benar”.

Namun, seorang pemain yang bakal meninggalkan pasukan adalah Alberto Aquilani yang dikhabarkan akan dipinjamkan kepada sama ada Juventus atau Napoli dalam Serie A. - Agensi

SUMBER: Berita Harian