August 17, 2010

Delegasi Fifa nilai keupayaan Russia

MOSCOW: Delegasi pemeriksaan Fifa tiba di Saint Petersburg pagi semalam, bagi membuat penilaian tahap kemampuan Russia yang membida penganjuran Piala Dunia 2018 atau 2022.Delegasi enam ahli lembaga itu diketuai Presiden Konfederasi Bola Sepak Chile, Harold Mayne-Nicholls mendarat di Lapangan Terbang Pulkovo, St Petersburg untuk memulakan lawatan ke atas bandaraya yang menawarkan diri menjadi tuan rumah kejohanan itu.


Mereka diiringi Ketua Kesatuan Bola Sepak Russia (RFU) Sergei Fursenko dan Menteri Sukan, Vitaly Mutko yang dijangka memberi taklimat kepada delegasi Fifa.


Pemeriksaan di Russia adalah hentian keempat delegasi itu yang melengkapkan sembilan lawatan ke sembilan bandaraya yang membida menjadi tuan rumah 2018 atau 2022.


Delegasi Fifa sudah melawat ke Jepun dan Korea Selatan, Australia dan Belanda-Belgium yang menawarkan diri sebagai penganjur bersama.


Russia, menawar 13 bandaraya di negara itu untuk Piala Dunia dibahagikan kepada empat bahagian, yang kebanyakannya terletak di Eropah.


Kaliningrad dan Saint Petersburg termasuk dalam bahagian di utara, sementara Moscow dan wilayah Moscow diletakkan di bahagian tengah.


Kelompok sungai Volga pula mengandungi bandaraya Yaroslavl, Nizhny Novgorod, Samara Kazan, Saransk dan Volgograd sementara kelompok selatan terdiri daripada bandaraya Rostov, Krasnodar dan Sochi.


Bandaraya Yekaterinburg di wilayah Ural juga kemungkinan termasuk dalam bandaraya yang menganjurkan kejohanan.


Delegasi Fifa juga dijangka berkunjung ke England, Sepanyol dan Portugal yang giat melakukan persiapan menjadi penganjur bersama, manakala Amerika Syarikat dan Qatar dilaporkan menarik diri.


Jepun, Korea Selatan, Australia dan Qatar - semua ahli Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sudah menghantar bidaan 2022 sajamanakala negara lain membida 2018 dan 2022. - AFP

Sumber: Harian Metro