August 17, 2010

Pemain Badminton Mula Sesuaikan Diri Di Bath

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Pemain-pemain badminton negara kini mula menyesuaikan diri dengan cuaca dan suasana di England setelah hampir lima hari menjalani latihan di Universiti Bath di United Kingdom.Setiausaha Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Ng Chin Chai berkata latihan bagi menghadapi Kejohanan Badminton Dunia di Paris itu setakat ini berjalan lancar dan pemain tidak menghadapi sebarang masalah.

"Semua ok..pemain gembira. Cuaca juga baik, musim panas sama seperti di Paris," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Selasa.

Beliau berkata pemain menetap di asrama universiti itu dan menjalani latihan pada waktu pagi manakala petang mereka menonton video perlawanan.



BAM berpuas hati dengan program anjuran Institut Sukan Negara (ISN) itu dan berharap dapat mengikuti persiapan yang sama pada masa akan datang, khususnya bagi menghadapi Kejohanan All England dan Kejohanan Badminton Dunia tahun depan serta Temasya Sukan Olimpik London 2012, katanya.

Ini merupakan kali pertama pasukan mewakili negara menggunakan kemudahan di Pusat Latihan Sukan Prestasi Tinggi (PLPT) Malaysia di Bath sejak ISN dan kerajaan menandatangani memorandum persefahaman dengan universiti itu Mac lepas.

Ng berkata latihan di Bath merupakan sebahagian daripada program pembangunan BAM untuk pelapis kebangsaan yang turut serta sebagai 'sparing partner'.



"Ini merupakan satu pendedahan yang baik untuk mereka," katanya.



Mereka yang terlibat adalah acara perseorangan Lok Chong Chieh dan Mohd Arif Abdul Latif sebagai 'sparing partner' bagi Mohd Hafiz Hashim dan pemain beregu Mak Hee Chun, Tan Wee Kiong dan Lim Khim Wah yang akan berlatih dengan beregu nombor satu dunia Koo Kean Keat-Tan Boon Heong.



Pemain badminton wanita negara Wong Mew Chew, Lydia Cheah dan beregu Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut mengikuti latihan di universiti itu.

Pemain perseorangan utama negara Datuk Lee Chong Wei tidak menyertai latihan di Bath, sebaliknya akan terus bertolak ke Paris bagi menghadapi kejohanan dunia yang akan diadakan pada 23 hingga 28 Ogos ini.

Pemain Malaysia lain yang akan bertanding di Paris namun tidak berada di bawah pengurusan BAM ialah pemain perseorangan Wong Choong Hann serta beregu Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Gan Teik Chai-Tan Bin Shen.



Antara nama besar yang akan mewarnai kejohanan itu ialah juara Olimpik Lin Dan dari China yang juga juara bertahan tiga kali berturut-turut, Taufik Hidayat dari Indonesia dan pemain muda Jepun Kenichi Tago.

-- BERNAMA