August 15, 2010

Chelsea ikat Ramires

LONDON: Juara Liga Perdana Inggeris, Chelsea menyempurnakan acara menandatangani kontrak dengan pemain tengah Brazil, Ramires dari Benfica kelmarin, dengan nilai perpindahan yang dianggarkan mencecah 17 juta pound (RM81.6 juta). Pemain 23 tahun itu menyertai kelab Stamford Bridge dengan kontrak empat tahun selepas mendapat permit kerja dan melepasi pemeriksaan kesihatan. Bekas pemain Cruzeiro itu bagaimanapun tidak sempat beraksi pada perlawanan pembukaan menentang West Brom malam tadi.
“Setiap pemain di dunia pasti gembira dapat mewakili Chelsea dan peluang hebat ini terhidang buat saya, saya akan melakukan yang terbaik untuk membalasnya,” kata Ramires dalam satu kenyataan di laman rasmi kelab, www.chelseafc.com.
Bos Blues, Carlo Ancelotti berkata: “Dia adalah pemain tengah hebat, masih muda dan bakal menjadi tonggak utama skuad kebangsaan Brazil suatu hari nanti. Saya juga berharap dia akan menjadi tonggak masa depan Chelsea.”

Dalam pada itu, Ancelotti berkata dia tidak tahu menahu mengenai rungutan kelab Brazil, Santos berkenaan usaha Chelsea memburu penyerang remaja, Neymar.
“Saya tidak tahu apa-apa. Neymar pemain hebat tetapi dia bukan milik Chelsea,” katanya. – AFP