August 25, 2010

Barca perlu bayar lebih untuk Mascherano: Hodgson


MANCHESTER: Pengurus Liverpool, Roy Hodgson menegaskan Javier Mascherano tidak akan berpindah ke Barcelona kecuali kelab gergasi Sepanyol itu dapat menawarkan harga yang berbaloi dengan nilai pemain itu.

Kapten Argentina itu digugurkan daripada senarai kesebelasan pasukan yang tewas kepada Manchester City 3-0, awal pagi semalam kerana menurut Hodgson, mindanya tidak stabil.
Mascherano ghairah mahu meninggalkan Liverpool kerana soal keluarga yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan kelab dari Merseyside itu dan difahamkan lebih cenderung berpindah ke Sepanyol.
Namun, Hodgson berkata pemain itu yang dinilai dengan harga 25 juta pound (RM125 juta) oleh kelabnya harus memenuhi syarat mewakili Liverpool untuk baki dua musim lagi kecuali ada kelab lain dapat memberi angka seperti dituntut.

Barcelona sudah ada perbincangan terbuka mengenai Mascherano yang kini cuma kurang satu perlawanan untuk melengkapkan kemunculan ke-100 dalam Liga Perdana Inggeris.

Fikirannya kini lebih terarah kepada soal tawaran dari Barcelona. Tapi kami akan hanya menjualnya jika mendapat tawaran yang dituntut, kata Hodgson. - AFP

Sumber: Berita Harian