Showing posts with label serie a. Show all posts
Showing posts with label serie a. Show all posts

February 21, 2012

Milan Pintas Juve


ROME - AC Milan kembali merampas kedudukan teratas Serie A selepas membenam Cesena 3-0, semalam tanpa kelibat Zlatan Ibrahimovic.

Bintang Sweden itu digantung dua perlawanan kerana menampar pemain Napoli, Salvatore Aronica pada perlawanan yang berpihak kepada Milan.

Pemain tengah Ghana, Sulley Muntari yang tampil buat pertama kali dan pemain serba boleh Belanda, Urby Emanuelson, kedua-duanya menjaringkan gol pertama untuk kelab itu dengan Robinho menyumbat gol ketiga buat Milan.

Kemenangan itu membolehkan Milan memintas Juventus untuk merampas kedudukan di puncak liga. Dua gergasi kelab Itali itu bakal bertembung sesama sendiri, minggu depan di San Siro.

Sebelum ini, Juventus menjadi peneraju Serie A setelah mencatat kemenangan 3-1 ke atas Catania yang beraksi dengan 10 orang, Sabtu lalu.

Jurulatih Milan, Massimiliano Allegri memuji aksi Muntari, pemain yang dipinjam dari Inter Milan.

"Dia telah bermain baik hari ini (semalam), bukan sekadar menjaringkan gol tetapi juga membantu di bahagian serangan, kami telah menandatangani pemain yang hebat.

"Saya tidak tahu mengapa Inter tidak menggunakan khidmatnya, dia membuat kami berasa selesa. Sewaktu dia beraksi di Udinese lagi dia telah mempamerkan permainan terbaiknya, tetapi dia meninggalkan kelab itu pada usianya masih terlalu muda (mewakili Portsmouth).

"Saya ingat dia akan memiliki karier yang berbeza. Tetapi kadang kala orang membuat kesilapan, namun akhirnya kita dapat menyaksikan kualiti yang ada pada dirinya," katanya kepada Sky.

Sementara itu, Udinese menghuni di tangga ketiga liga, tempat terakhir untuk beraksi dalam kelayakan Liga Juara-Juara walaupun, sekadar melakar keputusan seri 0-0 dengan Cagliari di tempat sendiri.

Lazio pula dibelasah Palermo 5-1, meneruskan aksi buruk 2012 selepas mengalami enam kekalahan daripada 11 perlawanan dalam semua pertandingan.

Dalam pada itu, Roma naik di tangga kelima apabila mencatat kemenangan 1-0 ke atas Parma dan sekali gus menyingkirkan Inter Milan di tempat ketujuh setelah tumpas 0-3 kepada Bologna.

Lecce pula mengalahkan Siena 4-1, menghidupkan kembali peluang mereka untuk keluar dari zon penyingkiran. - AFP

February 17, 2012

Juventus Berputih Mata



MILAN: Juventus terlepas peluang merampas persada Serie A - selepas diikat Parma 0-0 kelmarin - daripada AC Milan yang merakam kemenangan 2-1 ke atas Udinese, Sabtu lalu. 


Juve kini satu mata di belakang pendahulu itu selepas mencatat keputusan seri kali ke-10 daripada 22 perlawanan musim ini tetapi masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan dan melebarkan rekod tanpa kalah dalam semua pertandingan kepada 25 perlawanan.


Walaupun mendominasi permainan, Juve gagal memecah benteng Parma sehingga terpaksa mengharap belas pengadil untuk menghadiahkan penalti yang dikatakan pengendalinya, Antonio Conte, dipengaruhi teori konspirasi.


‘Anda tidak boleh untuk tidak memenangi perlawanan yang anda kuasai tetapi kami tewas kerana kadang kala pergerakan di depan tidak lancar,” kata Conte. “Parma juga bermain baik pada satu-satu ketika tetapi berlaku insiden yang tidak disenangi. 


“Insiden itu jelas sekali mempengaruhi kem Juve apabila mereka (pengadil) takut untuk memberikan penalti, kami mahu layanan sama rata. Saya bukan mahu diberi kelebihan tetapi sukar dipercayai apabila selepas 22 perlawanan, tidak ada satu pun pasukan termasuk dalam liga amatur, yang mendapat penalti lebih sedikit daripada kami.” – AFP

February 13, 2012

Kebangkitan AC Milan



MILAN: AC Milan bangkit dengan persembahan menakjubkan dengan gol daripada Maxi Lopez dan Stephan El Shaarawy untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas pencabar kejuaraan Udinese, kelmarin dan mara ke puncak Serie A Itali sekalipun tanpa kelibat penyerang bintang, Zlatan Ibrahimovic. 


Dengan perlawanan di antara Juventus dan Bologna dijangka ditangguhkan akibat salji tebal, Milan tidak mempersia-siakan kelebihan menambah kelebihan dangan dua mata di atas pencabar dari Turin itu sekalipun ketinggalan selepas 19 minit perlawanan bermula selepas rembatan Antonio Di Natale terkena Thiago Silva untuk menerjah gol.


Lopez yang disambar dari Catania bulan lalu selepas cubaan Milan untuk mendapatkan Carlos Tevez dari Manchester City gagal meledak gol pertamanya 12 minit selepas dimasukkan sebagai pemain gantian.


Dan pemain remaja yang memiliki darah campuran Itali-Mesir El Shaarawy, yang diletakkan dalam kesebelasan utama bagi menggantikan Ibrahimovic, menjadi watak penting kepada jaringan Lopez sebelum bergandingan sekali lagi untuk gol peribadi lima minit sebelum perlawanan tamat. 


“Saya bukan hanya memenuhkan pasukan. Saya amat gembira kerana dapat menjaringkan gol untuk pasukan yang sentiasa menjadi idaman saya,” kata Lopez. - Agensi

January 25, 2012

Ibrahimovic Pemain Terbaik


MILAN - Penyerang AC Milan, Zlatan Ibrahimovic telah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Serie A untuk tahun 2011.
Anugerah itu disampaikan dalam satu majlis yang diadakan di Milan, Itali kelmarin.
Ibrahimovic yang juga merupakan penyerang antarabangsa Switzerland dipilih berdasarkan undian yang dilakukan hampir 5,000 orang terdiri dalam kalangan pemain, jurulatih, pengadil dan wartawan.
Malah, Ibrahimovich turut berada dalam senarai pemain Pasukan Terbaik bagi tahun 2011 bersama-sama Antonio Di Natale, Edinson Cavani, Kevin Prince Boateng, Thiago Motta, Claudio Marchisio, Marek Hamsik, Pablo Armero, Andrea Ranocchia, Alessandro Nesta, Thiago Silva dan Christian Maggio.
Lebih manis, jurulatih Milan, Massimilliano Allegri turut memenangi anugerah apabila dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik.
Sementara itu, jurulatih England, Fabio Capello menerima Anugerah Khas daripada juri.
Udinese pula dipilih sebagai Pasukan Terbaik manakala Alessandro Del Paiero dan Fabio Cannavaro menerima anugerah sebagai Pemain Berkerjaya. - Agensi

January 23, 2012

Totti Cipta Rekod


ROM - Francesco Totti melakar rekod baharu dalam saingan Serie A selepas membantu AS Roma membelasah Cesena 5-1 kelmarin.
Sehingga kini, penyerang berusia 35 tahun itu telah meledakkan 211 gol dalam saingan liga bersama kelab yang sama, sekali gus melepasi rekod pemain Sweden, Gunnar Nordahl (210 gol) ketika menyarung jersi AC Milan lebih daripada 50 tahun lalu.
Begitupun, kemenangan itu tidak menggugat kedudukan Juventus selaku pendahulu liga selepas skuad kendalian Antonio Conte itu menewaskan Atalanta 2-0.
Kemenangan tersebut turut menyaksikan Juventus berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah pasukan itu dalam saingan musim ini.
Bagaimanapun, Conte menjelaskan perjalanan skuad kendaliannya itu masih panjang dan kejayaan selaku pendahulu liga ketika ini tidak boleh dijadikan sebagai ukuran untuk Juventus bergelar juara musim ini.
"Gelaran juara liga tidak membawa apa-apa makna buat saya ketika ini. Namun, barisan pemain saya berjaya melepasi halangan pertama musim ini dengan jayanya.
"Ia adalah saingan pusingan pertama yang menakjubkan bagi kami (Juventus).
"Kami berada di tangga teratas liga dan tidak pernah tewas lagi musim ini. Sebab itu, kami dilihat sebagai pasukan pilihan untuk bergelar juara," kata Conte.
Anak-anak buahnya terus berada di takhta liga dengan mengumpul 41 mata, empat mata di belakang pencabar terdekat, AC Milan.
Sementara itu Roma melonjak ke tangga keenam liga selepas mencatat kemenangan bergaya 5-1 ke atas Cesena.
Kelibat penyerang veteran Roma, Totti ternyata menjadi tumpuan apabila meledak dua gol seawal minit pertama dan tujuh minit kemudian
Selain Totti, turut berada dalam senarai jaringan Roma ialah Fabio Borini minit kelapan, Juan (62) dan Miralem Pjanic (70).
Gol sagu hati Cesena diperoleh menerusi Citadin Eder pada minit ke-58.
"Saya akan terus bermain sehingga tubuh badan saya sudah tidak mampu untuk melakukan apa yang saya mahukan.
"Jika kami (Roma) kami terus mengekalkan rentak kecemerlangan ini, saya yakin kami mampu melangkah lebih jauh. Kami menikmati setiap persembahan kami dan terima kasih kepada penyokong kami yang sentiasa memberikan sokongan," jelas Totti. - Reuters

December 29, 2011

Agen Elm Nafi Rundingan Man United


Agen kepada pemain tengah Sweden Rasmus Elm menolak laporan pemain itu akan menyertai Man United pada hujung musim ini.

Media Itali melaporkan pemain AZ Alkmaar yang berusia 23 tahun itu bakal berhijrah ke Old Trafford pada musim panas depan.

Namun agen pemain itu, Patrick Moerk menyatakan dia belum menentukan masa depannya walaupun mendapat minat daripada Arsenal, Tottenham dan beberapa kelab dari Serie A.

Elm masih mempunyai kontrak bersama Alkmaar sehingga 2013, sebelum ini mengakui ada dikaitkan dengan United.

Namun Moerk berkata pemainnya itu akan mendengar beberapa lagi tawaran.

December 25, 2011

Ancelotti ke PSG?




Paris St.Germain akan menggantikan pengurusnya sekarang iaitu Antoine Kombouare dengan jurulatih baru minggu depan. Nama yang paling hangat disebutkan bagi mengganti pengurus itu ialah bekas pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti.

Pengurus dari Itali itu mempunyai hubungan yang agak baik dengan Leonardo dan mereka pernah bekerja bersama dalam Serie A, dan sekarang Ancelotti mungkin akan menjadi pengurus baru di PSG.

Kombouare dilihat sukar untuk meyakinkan pemilik PSG yang merupakan jutawan dari Qatar setelah hanya menduduki tangga ke-6 dalam Ligue 1 France.

Ancelotti mungkin akan dibayar sebanyak GBP60,000 seminggu sekiranya bersetuju dengan tawaran tersebut.

December 10, 2011

Milan, Udinese Intai Persada Serie A



ROME - Juventus yang tidak beraksi sehingga Isnin ini sebelum bertandang ke Roma memberi ruang kepada AC Milan dan Udinese untuk mengintai peluang menyambar kedudukan teratas Serie A.

Kedua-dua pesaing terdekat itu yang mengekori Juve dengan hanya dipisahkan dua mata berpeluang memintas kedudukan Juve jika menang pada perlawanan minggu ini. 

Peluang Milan bagaimanapun agak sukar apabila mengunjungi Bologna manakala Udinese akan melayan Chievo.

Sementara itu, penjaga gol Milan, Marco Amelia berkata, pasukan juara itu tidak boleh memandang rendah lawan mereka.

''Kita perlu bermain baik pada perlawanan ini kerana hanya dengan cara inilah akan membuka peluang kepada pemain hebat kita menampilkan skil masing-masing. Inilah kelainan kita,'' katanya. - AFP


INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!

November 27, 2011

Udinese Tangga Teratas Seria A



Juventus terus beri tekanan dua mata di belakang yang beraksi kurang satu perlawanan




ROME: Udinese menewaskan AS Roma 2-0 kelmarin untuk menduduki tangga teratas Serie A menjelang pertemuan antara Lazio dan Juventus, semalam.


Udinese memenangi perlawanan itu hasil jaringan Antonio Di Natale, yang menjaringkan gol peribadi kesembilannya musim ini pada minit ke-79, dengan Maurizio Isla menambah gol kedua, beberapa minit sebelum permainan tamat.


“Kami menghasilkan satu permainan hebat menentang satu pasukan yang begitu bersemangat. Mereka sangat bagus pada babak pertama, manakala kami bertahan dengan baik dan menyerang balas,” Di Natale memberitahu Sky Sport.


“Kami tidak melihat kepada kedudukan carta... apa yang penting ialah Udinese menang. Saya seorang penyerang, saya di sini untuk memberikan perkhidmatan kepada mereka.”


Lazio berdepan ujian getir di laman sendiri menanti kunjungan Juventus di Stadio Olimpico semalam, tatkala mereka berusaha untuk membuktikan mereka mampu memberi saingan kepada pasukan handalan Serie A itu dalam persaingan merebut kejuaraan Scudetto.


Kedua-dua pasukan mengumpul 22 mata, dua di belakang Udinese, dengan Juventus, yang beraksi kurang satu perlawanan, menduduki tangga kedua berdasarkan perbezaan gol. - AFP

INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!