Showing posts with label Bukit Jalil. Show all posts
Showing posts with label Bukit Jalil. Show all posts

December 27, 2010

Piala AFF-Suzuki: Malaysia Bawa Kelebihan Agregat 3-0 Ke Indonesia

Malaysia_Lawan_Indonesia
(Bernama) -- Malaysia membawa bekalan selesa ke Jakarta selepas menumpaskan Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir pertama Piala AFF-Suzuki 2010 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini Ahad malam.

Mohd Safee Mohd Sali menjadi wira negara apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-59 dan 71, sementara Mohamad Ashari Samsudin menyumbang gol pada minit ke-67.

Perlawanan timbal balik akhir akan berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia pada Rabu ini bagi menentukan siapa yang bakal menjulang kejuaraan edisi kali ini.


di hadapan kira-kira 85,000 penonton, Malaysia bermula garang dengan melakukan asakan bertali arus ke arah gawang Indonesia pada babak separuh masa pertama dengan mempamerkan corak permainan yang selamat.

Skuad 'Harimau Malaya' dan skuad 'Garuda' masing-masing melakukan asakan demi asakan namun buntu dalam pencarian gol sehingga wisel rehat dibunyikan.

Selepas rehat, perlawanan yang baru bermula 10 minit dicemari dengan insiden pancaran laser oleh penyokong yang menyebabkan jurulatih Indonesia, Alfred Riedl memprotes kepada pengadil, Toma Masaaki dari Jepun, dan akibatnya permainan terhenti selama lima minit bagi meredakan keadaan yang tegang di kalangan penyokong kedua-dua negara.

Sepanjang tempoh itu, keadaan dikeruhkan lagi apabila penyokong Indonesia mula membaling botol air mineral ke dalam padang dan diikuti oleh letupan bunga api yang dihalakan ke dalam padang oleh penyokong Malaysia.

Sejurus selepas itu, kedua-dua pasukan mula mempamer corak permainan yang lebih agresif namun anak didik bekas pemain kebangsaan, K. Rajagobal nyata lebih unggul apabila Safee Sali menjaringkan gol pertama Malaysia pada minit ke-59 hasil daripada lorongan bola yang diterima daripada Norshahrul Idhlan Talaha dalam kotak penalti.

Lapan minit kemudian, gawang Indonesia yang dikawal Markus Harison Rihihina sekali lagi dibolosi apabila Mohamad Ashari Samsudin, yang menggantikan Amirulhadi Zainal, membuat rembatan jarak dekat kira-kira dua meter dalam kotak penalti hasil umpanan Norshahrul yang terdahulu melepasi tiga benteng lawan.

Asakan bertubi-tubi pemain Malaysia sekali lagi berhasil menembusi gol Indonesia apabila Mohd Safee menanduk masuk bola hasil hantaran daripada luar kotak penalti oleh Mahalli Jasuli pada minit ke-71.

Tersentak dengan jaringan tiga gol, Indonesia cuba bangkit untuk mencari gol tunggal namun tidak berjaya hingga tiupan wisel penamat.

Rajagobal dalam sidang akhbar selepas perlawanan berkata beliau amat berpuas hati dengan prestasi dan pencapaian anak buahnya.

"Pada separuh masa pertama pemain bermain dengan cara bertahan dan menukar taktik selepas rehat. Pada masa rehat saya beritahu pemain bahawa inilah sahaja peluang pemain untuk mendapat bekalan selesa ke Jakarta nanti.

"Saya berbangga dengan pencapaian malam ini walaupun perlawanan malam ini dicemari insiden yang kurang disenangi oleh para penyokong, namun pemain negara tidak hilang fokus," katanya.

Sementara itu Riedl berkata perlawanan timbal balik akhir merupakan tugas yang berat bagi pemainnya kerana mereka perlu mengatasi agregat gol yang besar untuk merangkul gelaran juara Piala AFF-Suzuki.

"Gol pertama Malaysia memulakan segalanya apabila pasukan Indonesia mulai hilang fokus terhadap permainan. Saya rasa peluang agak tipis untuk menang di Jakarta, tapi kami perlu ambil pelbagai risiko dalam perancangan nanti," katanya.

Bagi Mohd Safee yang menjadi penjaring terbanyak pada kejohanan ini dengan empat gol, katanya beliau tidak menyangka dapat menyumbang dua lagi gol pada malam ini.

"Saya sangat yakin dengan persembahan saya dan rakan-rakan yang lain dan kami akan membawa momentum ini Rabu nanti di Jakarta," kata Mohd Safee, sambil menambah beliau berhajat untuk bermain dalam liga yang kompetitif di Indonesia selepas ini jika diberikan peluang.

December 26, 2010

Malaysia Boleh Menang Jika.....???

AFF_Suzuki_Cup_2010
Malam ini akan menyaksikan perlawanan akhir pertama AFF Suzuki Cup antara Malaysia dan Indonesia. Perlawanan pada malam ini akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Perlawanan kedua-dua pasukan ini pasti akan ditunggu oleh kesemua peminat bola sepak tanah air dan juga peminat Indonesia. Perlawanan ini menjadi perlawanan ulangan dalam peringkat kumpulan di mana Malaysia dimalukan Sang Garuda dengan jaringan 5-1 dalam perlawanan di Stadium Gelora Bungkarno di Jakarta.

Bagi Malaysia ini merupakan medan untuk menebus kembali kekalahan kepada Indonesia dan sekaligus memulihkan kembali maruah bola sepak negara yang tercalar. Namun bagi Indonesia pula, mereka akan cuba sedaya upaya untuk mengulangi pesta gol mereka seperti yang berlaku dalam peringkat kumpulan.

Malaysia berpeluang memenangi perlawanan pada malam ini sekiranya jurulatih mempunyai perancangan dan strategi yang teratur dan konsisten. Keputusan perlawanan pertama dalam peringkat kumpulan yang menyaksikan Sang garuda menang besar tidak boleh dijadikan pengukur untuk menentukan keputusan malam ini.

Pada pendapat saya, Malaysia dan Indonesia tidak banyak perbezaan sama ada dari segi stamina mahupun mentaliti. Namun apa yang K Raja mungkin tidak perasan ialah pasukan Indonesia mempunyai pemain tengah yang begitu kreatif.

Serangan Indonesia yang begitu berbahaya dilihat banyak terhasil dari usaha pemain tengah mereka. Pemain tengah mereka banyak mengatur permainan yang membawa kepada kucar kacir dalam barisan pertahanan Malaysia. Kita tidak perlu takut kepada penyerang celup mereka Gonzales. Jika diperhatikan dalam setiap perlawanan, penyerang celup mereka itu tidaklah sehebat yang disangka. Kelemahan penyerang itu ialah dia sendiri tidak tahu bahawa dia berada dalam kedudukan offside dan sentiasa menunggu hantaran dari Okto dan Irfan. Dari segi speed, Gonzales nyata tidak selaju yang disangka. Jika dibandingkan dengan pertahanan kita seperti Asraruddin , Muslim Ahmad dan lain-lain, nyata mereka lebih laju dari Gonzales celup itu. Oleh itu pemain itu tidak membawa sebarang ancaman kepada pasukan Malaysia.

Namun antara pemain Indonesia yang harus diberi kawalan ketat ialah pemain sayap mereka Okto dan Irfan. Memang tidak boleh dinafikan bahawa kedua-dua pemain ini memang boleh mengancam gawang gol Malaysia. Kelebihan utama mereka ialah mempunyai larian yang laju dan crossing mereka yang tepat ke penyerang celup mereka Gonzales.

Jadi sekiranya kita ingin memberi saingan dalam perlawanan final ini, kita harus mengawal permainan dari tengah. Penyerang dan pertahanan negara cukup hebat dalam mengawal bola. Namun kelemahan kita sekarang ialah dari segi kreativiti pemain tengah. Jika dibandingkan dengan Indonesia, midfielder kita memang lemah. Dalam setiap perlawanan bola sepak, sekiranya midfielder tidak dapat bermain dengan baik, semestinya pasukan itu akan mengalami kekecewaan.

Dua pemain Indonesia yang saya nyatakan di atas tadi juga harus dikawal dengan ketat. Seharusnya ada dua pemain kita yang sentiasa mengawal kedua pemain itu. Seperti Irfan, dia bermain di sebelah kanan maka kita boleh serahkan tugas mengawal pemain itu kepada Kuna dan Asra. Bagi Okto pula diserahkan kepada Sabree Abu dan Amirul Hadi. Sekiranya kita memantapkan jentera bahagian tengah dan mengawal dua orang pemain berbahaya mereka itu, kita pasti akan mengecapi kemenangan dalam AFF Suzuki Cup 2010 ini.

December 19, 2010

Malaysia Mara Ke Final

Malaysia layak ke perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2010 setelah seri 0-0 dengan Vietnam dalam saingan separuh akhir kedua di Stadium My Dinh, Hanoi Sabtu malam.

Dengan itu pasukan negara yang menewaskan Vietnam 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini dalam perlawanan separuh akhir pertama Rabu lepas layak ke final seteleh menewaskan Vietnam dengan agregat 2-0.

Beraksi di hadapan penonton sendiri, Vietnam bermula garang pada babak separuh masa pertama dengan mempamerkan corak permainan agresif, namun gagal membolosi gol Malaysia.

Cubaan berbahaya penyerang Vietnam dapat ditangani oleh penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat bersama barisan pertahanan dengan cemerlang hingga tamat separuh masa pertama.

Pada separuh masa kedua, Malaysia turut mempamerkan corak permainan lebih agresif dengan kedua-dua pasukan saling asak- mengasak untuk mencari gol, namun berkesudahan tanpa sebarang jaringan dilakukan hingga tamat perlawanan.

Pengadil memberi kad merah kepada pemain Vietnam, Pham Thanh Luong pada minit ke-71 apabila dia pura-pura jatuh seoah-olah dikasari oleh pemain Malaysia S. Kunanlan dalam kawasan kotak penalti.

Malaysia mendapat beberapa peluang pada saat-saat akhir perlawanan di hadapan gol Vietnam, namun dapat ditepis oleh penjaga gol Vietnam, Bui Tan Truong.

Dalam pertemuan separuh akhir pertama antara Indonesia dengan Filipina di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada Jumaat malam, Indonesia menewaskan Filipina 1-0.

Perlawanan separuh akhir kedua antara kedua-dua pasukan akan diadakan di stadium yang sama Ahad malam yang pemenangnya akan bertemu Malaysia di perlawanan akhir.

Sepanjang tujuh edisi Piala Suzuki sebelum ini, Malaysia hanya sekali melangkah ke pertandingan akhir iaitu pada edisi sulung 1996 yang ketika itu dikenali sebagai Piala Tiger dan tewas 0-1 kepada Thailand.

Dalam enam edisi berikutnya, Malaysia tewas empat kali di separuh akhir kepada Thailand (2000), Indonesia (2002 dan 2004) dan Singapura (2007) serta dua kali terkandas di peringkat kumpulan (1998 dan 2008).

Kredit: BERNAMA

December 18, 2010

Persiapan Separuh Akhir Kedua AFF Suzuki Cup

MALAM ini, Malaysia memburu tempat di perlawanan akhir saingan Piala Suzuki AFF 2010 dan satu-satunya perkara yang boleh menafikan impian itu ialah andai skuad bimbingan ketua jurulatih K Rajagobal itu tewas kepada tuan rumah,
Vietnam dengan jumlah jaringan sekurang-kurangnya 3-0.

UNTUK melakar kemenangan di Stadium Nasional MyDinh malam ini mungkin sesuatu yang agak sukar tetapi paling penting, skuad bimbingan ketua jurulatih K Rajagobal itu perlu mempertahankan kelebihan dua gol yang diraih hasil kejayaan 2-0 di Bukit Jalil, Rabu lalu.

Jumlah jaringan sebesar itu mungkin dilihat terlalu besar dilepaskan pemain kebangsaan tetapi di Stadium Nasional MyDinh, Hanoi, tidak mustahil dilakukan Vietnam yang pastinya mendapat sokongan padu penonton tempatan.

Bekalan dua gol hasil kemenangan 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil boleh dianggap cukup tetapi Vietnam yang juga juara bertahan kejohanan, bukanlah pasukan yang boleh dipandang mudah tambahan pula mereka akan kembali mendapat khidmat pemain tengah, Nguyen Trong Hoang yang sebelum ini menjalani hukuman penggantungan.

Dua pemain yang tidak diturunkan ketika separuh akhir pertama di Bukit Jalil lalu akibat kecederaan, Doan Viet Cuong dan Phan Van Tai Em juga sudah boleh bermain dan ketua pengendali, Henrique Calisto boleh mengharapkan sesuatu yang positif daripada kehadiran ketiga-tiga pemain tonggaknya itu.

Rajagobal pula menggesa anak buahnya menggunakan kelebihan bagi merealisasikan impian ke perlawanan akhir buat kali pertama sejak edisi pertama Piala Suzuki AFF iaitu pada 1996. Pada perlawanan itu, Malaysia tewas 1-0 kepada Thailand hasil jaringan Kiatisuk Senamuang.

Benteng pertahanan negara diketuai Mohd Muslim Ahmad dan Mohd Fadhli Shas di bahagian tengah dilihat kental bertahan pada perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu walaupun diasak bertubi-tubi sambil dibantu Mohd Asraruddin Putra Omar dan Mahalli Jasuli.

December 15, 2010

Persiapan Skuad Malaysia AFF Suzuki Cup 2010 Separuh Akhir

Walaupun skuad Vietnam dikatakan pincang tanpa empat tonggak utama pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF di sini Rabu, jurulatih kebangsaan K Rajagobal mengingatkan anak buahnya agar sentiasa fokus dan berwaspada dengan corak permainan pantas lawan.

Kedua-dua pasukan akan bertemu pada perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada pukul 8 malam manakala perlawanan timbal balik akan berlangsung di Stadium My Dinh, Hanoi pada Sabtu.

Vietnam kehilangan khidmat dua pemain pertahanan, Doan Viet Cuong dan Hyun Quang Thant serta pemain tengah, Phan Van Tai Em akibat kecederaan sementara Nguyen Trong Hoang yang menjaringkan dua gol setakat ini pula masih menghadapi tindakan penggantungan.

Malaysia layak ke separuh akhir bertemu Vietnam setelah muncul naib johan Kumpulan A di Jakarta manakala Indonesia selaku juara Kumpulan A akan menentang naib johan Kumpulan B Filipina dalam satu lagi perlawanan separuh akhir. Rajagobal berkata walaupun corak pemain Vietnam pantas dan bertenaga namun beliau mengingatkan anak buahnya agar menyaingi kepantasan lawan.

Barisan Kemungkinan Malaysia:
Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Sabri Mat Abu, Mohd Faizal Muhammad, Safiq Rahim, Mahalli Jasuli, Mohammad Muslim Ahmad, Amar Rohidan, Mohd Khyril Muhymeen Zambri, Mohd Amirulhadi Zainal, S. Kunanlan, Norshahrul Idlan Talaha, Mohd Amri Yahyah.