Showing posts with label Harimau Muda. Show all posts
Showing posts with label Harimau Muda. Show all posts

February 10, 2012

Harimau Muda Catat Kemenangan Sulung [Video Highlight Available]


HARIMAU Muda bermula garang dengan mengungguli persada Liga Singapura selepas mencatat kemenangan bergaya 2-0 ke atas Gombak United FC dalam aksi pertama Liga Singapura di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam tadi.


Walaupun tampak keletihan selepas baru pulang dari Manama, Bahrain mengharungi kempen kelayakan Sukan Olimpik, barisan anak didik Ong Kim Swee masih mampu beraksi dengan corak permainan pantas.


Ia terbukti tatkala aksi baru memasuki tempoh lapan minit, skuad Harimau Muda A sudah memperoleh tiga sepakan sudut namun agak malang apabila kesemua sepakan itu masih belum mampu mencemaskan gawang Gombak United FC.


Hanya pada minit ke-13, bermula daripada gerakan Nazmi Faiz Mansor yang bijak melorongkan bola kepada Wan Zack Haikal hampir memecah kebuntuan, namun rembatan pemain sayap itu terkena kaki penjaga gol, Zaiful Nizam.


Serangan bertali arus Harimau Muda terus mengancam kubu Gombak United FC dan pada minit ke-15 hasil sepakan lambung Mohd Irfan Fazail dari kawasan tengah padang menyaksikan A Thamil Arasu pantas menyambar bola sebelum bertindak merembat leret memerangkap Zaiful yang tergamam di gawang sendiri.


Tersentak dengan jaringan awal Harimau Muda A, Gombak United FC yang diperkuatkan dengan tiga pemain import mula mengatur serangan namun benteng pertahanan barisan muda negara gandingan Mohd Fadhli Saas dan Amer Saidin kental mengekang asakan itu.


Bersambung babak kedua, Harimau Muda A tampak mengawal rentak perlawanan dan hampir menambah jaringan pada minit ke-76 selepas bola rembatan Gary Steven Robbat dari luar kotak penalti terkena pertahanan Gombak United FC. 


Namun pemain gantian, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria memastikan kemenangan buat Harimau Muda pada minit ke-84 selepas menolak bola sepakan percuma kapten Mahali Jasuli untuk memastikan tiga mata milik barisan muda negara.



February 9, 2012

Aksi Pertama Harimau Muda Dalam Liga-S


SKUAD Harimau Muda A menghadapi Gombak United pada aksi sulung Liga Singapura 2012 di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam ini tanpa kelibat ‘peledak baru’ mereka, Ahmad Hazwan Bakri yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan hamstring. 

Hazwan, 21, bekas penyerang Kuala Lumpur, musim lalu mengalami kecederaan itu ketika menjaringkan gol skuad Olimpik negara yang tewas 1-2 kepada Bahrain di Manama, Ahad lalu.

Namun, jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee tidak mahu ia dianggap sebagai kepincangan besar memandangkan dia masih mempunyai Ferris Danial Mat Nasir dan A Thamil Arasu mengisi posisi penyerang.
“Pasukan ini sudah biasa tanpa penyerang konsisten. Jadi selain Ferris dan Thamil, saya juga harap pemain tengah seperti Irfan Fazail, Nazmi Faiz Mansor dan Wan Zack Haikal mampu menjaringkan gol. 

“Di posisi lain, tiada masalah dengan Fadhli Shas kembali bersama Amer Saidin di bek tengah. Affize Faisal Mamat dan Fandi Othman juga boleh beraksi di dua posisi mengikut keperluan,” kata Kim Swee ketika ditemui di MSN, Bukit Jalil sebelum berlepas ke Singapura, pagi semalam. 

Ditanya mengenai kekuatan Gombak United, Kim Swee berkata, dia tetap memandang serius cabaran pasukan lawan itu yang bakal diperkuat dengan empat pemain import. 

“Bukan tugas mudah. Saya anggap semua 12 pasukan lain di Liga-S ini kuat kerana hanya kami tanpa pemain import. Cuma saya harap para pemain lupakan kekecewaan pada Kelayakan Olimpik dan mulakan musim baru dengan langkah kanan,” jelasnya.

February 8, 2012

Liga-S, AFC U-22 Jadi Fokus Kim Swee



KUALA LUMPUR - Saingan kelayakan Olimpik mungkin sudah tidak memberikan apa-apa makna kepada jurulatih Bawah 23 tahun negara, Ong Kim Swee tetapi memandang serius saingan Liga Singapura (Liga-S) sebagai medan persiapan paling sempurna menghadapi kelayakan Piala AFC Bawah 22 tahun, Jun depan.


Bakal memulakan cabaran pertama bertemu Gombak United esok di Stadium Jalan Besar, Kim Swee tidak memandang enteng kualiti beberapa pasukan Liga-S yang disifatkannya lebih baik daripada pasukan Liga Super.


"Saya lihat saingan Liga-S akan memberikan ruang yang banyak kepada pemain saya mengutip seberapa banyak pengalaman dan peluang kepada saya merangka strategi paling ampuh sebelum menghadapi kelayakan Bawah 22 Piala AFC.


"Biarpun saya sedar ada beberapa pemain yang tidak dapat menyertai kejohanan Bawah 22 itu seperti Mahalli Jasuli dan Mohd. Affize Faisal, saya mempunyai ramai pemain bawah 21 tahun dalam skuad kali ini yang akan beraksi dalam Piala AFC.


"Saingan Liga-S saya lihat tetap kompetitif kerana banyak pasukan yang agak baik seperti Home United, Tampine Rovers dan SAFFC (Angkatan Tentera Singapura), mereka bukan sahaja empat pemain import yang bagus namun pemain tempatan berkualiti, " katanya yang ditemui di Padang Latihan Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.


Kejohanan akhir Piala AFC Bawah 22 tahun akan berlangsung kali pertama pada tahun 2013 dan majlis undian bakal dilakukan di Rumah AFC, 14 Februari ini.


Sebanyak 39 negara akan mengambil bahagian pada pusingan kelayakan yang dijadualkan bermula dari 22 Jun hingga 8 Julai dan tuan rumah kejohanan juga akan diumumkan pada majlis pengundian.


Kim Swee juga mencabar anak-anak buahnya agar mampu berada dalam kelompok lima pasukan teratas pada saingan tahun pertama Liga-S.


"Jika tahun lalu semasa dalam saingan Liga Super kami berjaya meraih kedudukan lima terbaik dan mampu bersaing dengan beberapa pasukan utama, saya harap mereka mampu mengulangi pencapaian yang sama kali ini.


"Sasaran ini bukan ditetapkan oleh FAM sebaliknya daripada diri saya sendiri kepada pemain-pemain saya.


"Memang kalau tengok atas kertas, pasukan saya akan menghadapi cabaran yang bukan calang-calang kerana tiada pemain import dan di samping ketiadaan lagi beberapa pemain berpengalaman seperti Mohd. Muslim Ahmad dan K. Gurusamy.


"Walaupun saya tidak menjangkakan keajaiban akan berlaku namun saya optimis dengan kemampuan semua pemain saya, " katanya.

Muslim Terkilan Dipersalahkan

PERTAHANAN tengah Harimau Muda, Muslim Ahmad mengakui sedikit terkilan apabila ada segelintir peminat menyalahkan dirinya di atas kekalahan 2-1 kepada Bahrain dalam perlawanan kelayakan Olimpik Kumpulan C di Manama, Ahad lalu.
Pada perlawanan itu, skuad kendalian Ong Kim Swee hampir membawa pulang mata pertama apabila Ahmad Hazwan Bakri menyamakan kedudukan selepas ketinggalan 1-0, tetapi kesilapan barisan tengah yang membiarkan lawan merampas bola berhampiran kotak penalti menyebabkan Bahrain memastikan kemenangan.
Dua pertahanan, termasuk Muslim terjatuh apabila Husain Al-Farhan yang merampas bola daripada pemain tengah, menggelecek dua pertahanan sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat. 

“Memang pertahanan sering disalahkan dalam situasi begini, tetapi bola sepak adalah permainan sepasukan dan kami sama-sama bertanggungjawab di atas padang,” kata Muslim mengenai gol kemenangan Bahrain yang dikatakan berpunca daripada kesilapannya. 

“Saya memohon maaf jika kesilapan saya menyebabkan skuad negara tewas, tetapi saya bukan sengaja mahu terjatuh. Ketika itu saya sudah naik ke atas dan terpaksa berpatah balik dengan pantas untuk menutup ruang ketika lawan merampas bola. 

“Permukaan padang licin juga antara punca saya terjatuh. Saya faham kekecewaan rakyat Malaysia tetapi kami lebih merasai kekecewaannya. 
“Walaupun peluang ke Olimpik sudah tertutup, baki dua perlawanan menentang Jepun dan Syria tetap akan kami hadapi dengan penuh semangat bagi mempertahankan maruah pasukan dan negara.” 

Muslim akan bersama Terengganu sehingga 18 Februari ini sebelum dipanggil semula menyertai kem Ong Kim Swee menjelang pertemuan dengan Jepun, 22 Februari ini. 

February 6, 2012

Malaysia Kempunan

PINTU ke London sudah tertutup buat skuad kendalian Ong Kim Swee selepas tewas 2-1 kepada Bahrain, lewat malam tadi dalam saingan kelayakan Olimpik 2012.

Pada babak pertama, anak buah Kim Swee berpeluang membuka jaringan menerusi Irfan Fazail dan K Gurusamy dari luar kotak penalti tetapi gagal menemui sasaran.

Sebaliknya serangan balas pantas Bahrain berjaya memecah kebuntuan menerusi Mohammed Al-Alawi pada minit ke-25.
Selepas rehat, Malaysia beroleh gol penyamaan pada minit ke-84 menerusi pemain gantian, Ahmad Hazwan Bakri yang mudah menolak masuk hantaran Wan Zack.

Bagaimanapun Bahrain yang dikendalikan Peter Taylor kembali di depan selepas Husain Al Farhan menewaskan Khairul Fahmi Che Mat untuk gol kemenangan malam tadi. 

February 5, 2012

AQOL| Preview Bahrain vs Malaysia


KUALA LUMPUR - Tiada perkara lain dalam kotak fikiran jurulatih bawah 23 tahun negara, Ong Kim Swee menjelang perlawanan kelayakan Sukan Olimpik 2012 menentang Bahrain di Manama hari ini, kecuali mendapatkan gol dan bawa pulang tiga mata.

Biarpun bakal beraksi di bawah cuaca sejuk mencecah 10 darjah celsius, namun sasaran Malaysia hanya membawa pulang kemenangan.

Jika misi tersebut berjaya, peluang skuad Harimau Muda untuk sekurang-kurangnya layak ke penentuan play-off Olimpik kembali terbuka selepas berada pada kedudukan kritikal, menghuni tempat terakhir Kumpulan C tanpa sebarang mata.

Menurut Kim Swee, sekarang bukan masa yang sesuai untuk memikirkan tentang kelebihan pasukan lawan, sebaliknya beliau lebih gemar untuk melihat kekuatan yang ada pada anak buahnya digunakan sebaik mungkin hari ini.

"Kita tahu Bahrain memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, malah mereka juga mempunyai pemain yang kaya dengan kemahiran individu tetapi pada masa sekarang kita tidak perlu memikirkan semua itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, apa yang paling mustahak adalah memikirkan tentang kelebihan Malaysia mampu diterjemahkan untuk menghasilkan kemenangan, sekali gus memadam episod duka pada perlawanan pertama di Bukit Jalil, November lalu.

Pada perlawanan itu, Malaysia selesa mendahului Bahrain 2-0 hasil jaringan Muhamad Nazmi Faiz Mansor dan Mahali Jasuli, namun 10 minit sebelum perlawanan tamat kita tewas 2-3.

Ditanya mengenai bayangan kesebelasan utama yang bakal diturunkan, Kim Swee berkata, semuanya akan ditentukan hari ini sebaik mereka menjalani latihan terakhir.

"Bayangan itu saya sudah ada tetapi kita perlu tunggu sehingga hari perlawanan sebenar.

"Setakat ini semua pemain berada dalam keadaan yang sihat, tidak ada sebarang masalah kecederaan dan rata-rata mereka sudah menyesuaikan diri dengan keadaan di sini.

"Inilah pentingnya mengapa kita perlu tiba awal di sini, selain membolehkan pemain membiasakan diri dengan keadaan cuaca yang sejuk, penyesuaian perubahan waktu juga amat penting," kata bekas pemain kebangsaan itu.

Perlawanan hari ini yang bermula pada pukul 11.30 malam waktu Malaysia dijangka berlangsung dalam suasana yang sejuk dengan cuaca mampu menjangkau 10 hingga ke 11 darjah celsius.

February 4, 2012

Latihan Skuad Negara Diintip


PENGENDALI Harimau Muda, Ong Kim Swee sememangnya cukup ‘gentleman’.Apa tidaknya, beliau langsung ‘tidak kisah’ jika ada wakil media Bahrain yang mahu ‘mengintai’ kekuatan mereka sepanjang sesi latihan menjelang aksi kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia Kumpulan C di Stadium Nasional Manama, Ahad ini (pukul 11.30 malam waktu Malaysia).
Kejayaan Harimau Muda merobek gawang Bahrain sebanyak dua kali sebelum tewas 2-3 pada pertemuan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, November tahun lepas pastinya mengundang teka-teki media negara itu yang barangkali kurang arif mengenai peningkatan mendadak pasukan muda negara.
Biarpun percaturan Salman Shareeda yang memasukkan dua pemain gantian, Saad Salah Al-Amer dan Isa Ahmed Muthanna ternyata menjadi apabila meledak ketiga-tiga gol pada penghujung babak kedua dalam perlawanan itu, Bahrain pastinya sedar dengan kemampuan pasukan Olimpik negara yang berupaya membuatkan mereka ‘berputih mata’ ke London.
Menurut Kim Swee, beliau hanya menutup ‘pintu’ latihan kira-kira 20 minit sebelum hari latihan terakhir tamat hari ini.
“Buat masa ini, latihan berjalan seperti biasa sejak semalam (kelmarin) dan sejujurnya saya tidak kisah jika media Bahrain hadir bagi ‘mengintai’ kekuatan pasukan kita.
“Saya hanya akan mengadakan latihan secara tertutup kira-kira 20 minit sebelum hari terakhir latihan esok (hari ini) bagi mengenal pasti corak taktikal terbaik pasukan,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Kim Swee, selain Khairul Fahmi Che Mat yang sah bakal menggalas tanggungjawab sebagai kapten, beliau juga hanya mengumumkan senarai kesebelasan utama sebelum perlawanan bermula.
“Dahulu kita kalah kerana faktor keletihan, justeru tiada lagi alasan kali ini dan saya menuntut kesemua pemain memberikan yang terbaik bagi menghidupkan semula peluang kita layak ke London,” katanya. Skuad Harimau Muda yang turut tewas 0-2 dalam kedua-dua pertemuan menentang Jepun dan Syria bagi aksi kumpulan yang sama sebelum ini kekal di tangga tercorot Kumpulan C tanpa sebarang mata.
Selepas menentang Bahrain, Malaysia akan melayan kunjungan Jepun di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 Februari depan.
Aksi penutup tirai Kumpulan C menentang Syria akan berlangsung di gelanggang berkecuali pada 14 Mac 2012.

February 2, 2012

Harimau Muda Kurang Cergas?


TAHAP kecergasan pemain skuad Harimau Muda membimbangkan.Jurulatih, Ong Kim Swee mengakui secara terbuka bahawa beliau agak bimbang dengan masalah tersebut kerana ia boleh menjejaskan prestasi pemain.
Untuk memburukkan lagi keadaan, skuad Harimau Muda masih ada empat hari sahaja lagi untuk membetulkan keadaan sebelum mereka berdepan Bahrain di Manama pada aksi pusingan kedua kelayakan Olimpik 2012 peringkat Kumpulan C bagi zon Asia.
Skuad negara masih gagal untuk mengutip sebarang mata pada aksi Kumpulan C, namun Kim Swee tetap tenang berdepan dengan situasi tersebut.
Namun, apa yang membimbangkan jurulatih yang berasal dari Melaka ini adalah tahap kecergasan segelintir pemainnya yang dilihat tidak begitu memuaskan ketika beraksi menentang Selangor pada perlawanan persahabtan di Stadium Nasional, Bukit Jali malam kelmarin yang berkesudahan seri tanpa jaringan.
Katanya, pemain-pemain sedia ada yang beraksi bersama persatuan atau kelab masing-masing di liga domestik tidak mempunyai masalah kecergasan.
"Selepas menyaksikan persembahan menentang skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu, saya sedikit gusar apabila ada segelintir pemain kelihatan tidak begitu cergas.
"Pemain-pemain seperti Mohd. Zubir Mohd. Azmi dan Mohammad Muslim Ahmad yang beraksi bersama Terengganu dalam Liga Super tidak mempunyai masalah stamina memandangkan mereka sentiasa beraksi bersama pasukan Pantai Timur itu.
"Tetapi, pemain-pemain Harimau Muda A seperti Gary Steven Robbat, Mohd. Irfan Fazail dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dilihat bergelut dengan masalah kecergasan. Mungkin disebabkan mereka baru pulih dari kecederaan.
"Pemain-pemain ini kekurangan perlawanan (persahabatan) dan mungkin ini merupakan salah satu faktor utama (masalah kecergasan). Tetapi, saya mahu memastikan mereka akan mencapai tahap sebenar sebelum aksi menentang Bahrain nanti," katanya kepada Kosmo! semalam.
Selepas aksi persahabatan itu, Kim Swee turut menyenaraikan barisan pemain yang akan menggalas cabaran negara di Manama kelak.
Empat pemain diketepikan daripada skuad ke Manama iaitu Syahrul Azwari Ibrahim, Muhammad Syazwan Tajuddin, Mohd. Shahril Saari dan Muhammad Izuan Mohd. Salahuddin.
Ditanya mengenai penyingkiran Syahrul yang dianggap sebagai salah seorang pemain yang cukup menyinar pada Sukan SEA 2011 di Indonesia pada November tahun lalu, Kim Swee mempunyai alasan yang sendiri.
Menurutnya, beliau tidak mahu mengambil risiko untuk menyenaraikan Syarul, yang baru pulih daripada kecederaan.
"Saya tidak mahu terburu-buru untuk menyenaraikan Syahrul kerana takut kecederaan yang dialaminya ketika di Sukan SEA lalu kembali berulang selain masalah stamina.
"Syahrul akan menjalani latihan intensif bersama Harimau Muda B di Kuala Lumpur dan selepas itu, prestasinya akan dinilai semula," ujar Kim Swee yang berlepas ke Manama semalam.
Harimau Muda akan menentang Bahrain pada 5 Februari ini.
Pada aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum ini, skuad negara tewas 3-2.
Kini, misi Malaysia pada aksi pusingan kedua peringkat Kumpulan C ini hanya satu iaitu perlu menang semua baki tiga perlawanan bermula dengan menentang Bahrain diikuti Jepun dan Syria.

December 15, 2011

Harimau Muda Dijinakkan Central South Mariner




ADA mesej yang cukup positif diterima pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee sebaik pasukannya dijinakkan 0-1 oleh Central South Mariner dalam aksi persahabatan kedua di Stadium Mini Central South Mariner, Sydney pagi semalam.
Ketiadaan tonggak pertahanan, Muslim Ahmad yang terpaksa dikeluarkan pada penghujung babak kedua gara-gara kecederaan dimanfaatkan sepenuhnya oleh jentera serangan tuan rumah yang berjaya meledak gol tunggal perlawanan ketika berlaku keadaan kelam-kabut di dalam kotak penalti Harimau Muda pada minit ke-85.
Apa yang pasti, ia merupakan pengajaran yang berguna buat Kim Swee supaya tidak sekadar bergantung harap dengan gandingan Muslim dan Muhamad Fadhli Shas bagi mengemudi benteng pertahanan negara selepas ini, dan ia juga diakui oleh pengendali berasal dari Melaka itu.
“Benar, rentak permainan dilihat berubah sebaik Muslim dikeluarkan gara-gara kecederaan betis.
“Namun, saya masih tidak terlalu bimbang kerana sememangnya matlamat asal saya sepanjang menimba ilmu di Australia ini adalah bagi membentuk persefahaman dan juga gandingan pemain-pemain baharu serta yang jarang diturunkan sebelum ini.
“Malah, persembahan Mohamad Amer Saidin yang masuk menggantikan Muslim juga tidak mengecewakan meskipun sekadar beraksi kurang daripada 10 minit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Sydney semalam.
Sebelum ini, dalam aksi pembuka tirai menentang Sydney FC kelmarin, skuad kendalian Kim Swee berpesta gol apabila menang 3-0 hasil jaringan K. Gurusamy dan dua gol ledakan Ahmad Hazwan Bakri.
Sementara aksi Harimau Muda menentang Central South Mariner pula sepatutnya dijadualkan berlangsung hari ini sebelum dianjakkan sehari lebih awal semalam memandangkan jadual kelab itu difahamkan cukup padat lantaran persiapan mereka menjelang aksi Liga Australia (Liga-A) musim depan.
Untuk rekod, Central South Mariner merupakan pasukan keempat terbaik Liga-A bagi musim ini.
Mengulas lanjut, Kim Swee berkata, bahawa beliau juga melakukan beberapa pertukaran di bahagian tengah semalam apabila membawa keluar Gurusamy dan Fandi Othman dan memasukkan S. Sivanesan dan Nazirul Naim Che Hashim pada babak kedua.
Persembahan keseluruhan pemain juga, katanya, tidak menghampakan termasuk keberkesanan tindakan penyudah yang dipamerkan Ahmad Hazwan sekali gus memberikan lebih banyak pilihan buat Kim Swee di jentera serangan.
“Pada masa sama, saya juga tidak menolak kemungkinan menguji pemain baharu seperti S. Sivanesan dan Shahrul Saad menjelang pertemuan terakhir menentang Newcastle Jets pada 19 Disember ini,” katanya.
Oleh NAN HIDAYAT NAN 
AZMIE dan AHMAD 
FAZLI MOHD. YADI
sukan@kosmo.com.my


INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!

October 16, 2011

Harimau Malaya | 2-0 Tidak Memadai


YONG Kuong Yong (kiri) bersaing hebat dengan pemain Nepal, Biraj Maharjan pada perlawanan persahabatan, semalam.

“KITA perlu cari idea bagaimana untuk mendapatkan pergerakan lebih baik di depan pintu gol lawan,” jelas jurulatih skuad Sukan SEA negara, Ong Kim Swee selepas menyaksikan Harimau Muda menewaskan pasukan kebangsaan Nepal 2-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ), semalam. 

Kenyataan ringkas itu mencerminkan keresahan Kim Swee menjelang misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA bulan depan, andai terpaksa menentang pasukan yang mengamalkan taktik bertahan.

Yang pasti, prestasi semasa barisan muda negara seolah-olah hilang punca dan kekeringan idea untuk mencari ruang jaringan apabila Nepal yang dikendalikan Graham Paul Roberts, mampu menyerap asakan pemain negara, sebelum menemui jawapan pada minit ke-80 menerusi Izzaq Faris Ramlan dan Yong Kuong Yong pada masa tambahan.
“Corak Nepal adalah bertahan. Kita belajar bagaimana nak memecah kebuntuan sekiranya berdepan pasukan yang bermain seperti ini kerana kita mungkin berdepan pasukan Laos dan Kemboja yang bermain dengan corak ini,” kata Kim Swee sejurus tamat perlawanan, semalam. 

“Bukan semua pemain utama beraksi kerana pemain di Slovakia (Fadhli Shas, Irfan Fazail dan Wan Zack Haikal Wan Nor) serta Khairul Fahmi (Che Mat) dan Zubir Azmi masih bersama pasukan masing-masing. 

“Sebagai perbandingan juga, Filipina mengalahkan Nepal 4-0 dengan kekuatan skuad kebangsaan tapi pasukan Bawah 23 tahun kita yang tanpa beberapa tonggak mengalahkan Nepal 2-0, jadi saya berpuas hati dan itu satu keputusan yang bagus,” katanya. 

INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!

October 4, 2011

Pemain Muda Cipta Sejarah



DUA pemain muda negara, Irfan Fazail dan Fadhli Shas mencipta sejarah tersendiri apabila muncul warga Malaysia pertama turun beraksi secara rasmi dalam dua saingan bola sepak di Slovakia, Liga Corgon dan Piala Slovnaft. 

Kedua-dua pemain tersebut yang berusia 20 tahun bersama seorang lagi pemain muda negara, Wan Zack Haikal Wan Nor diambil kelab ViOn Zlate Moravce sebagai pemain pinjaman selama dua bulan bermula 26 Ogos lalu.
Irfan dimasukkan pada minit ke-86 ketika ViOn menewaskan AS Trencin 3-0 pada aksi Liga Corgon, Sabtu lalu manakala Fadhli terdahulu dimasukkan pada minit ke-82 ketika ViOn menundukkan Spartak Myjava 3-0 pada pusingan ketiga Piala Slovnaft, Selasa lalu.
“Terima kasih kepada jurulatih (Juraj Jarabek) kerana beri peluang untuk saya beraksi buat kali pertama pada aksi Liga Corgon ini. Saya rasa cukup gembira. 

“Tahap bola sepak di sini (Slovakia) sememangnya berintensiti tinggi. Jadi sesuatu yang baik untuk saya berada di sini dan beraksi bersama ViOn,” kata Irfan yang beraksi di posisi tengah. 

Sementara itu, Fadhli yang diturunkan dalam saingan Piala Slovnaft tidak dimasukkan pada aksi Sabtu lalu, lantas berharap dia juga diberi peluang membuat penampilan sulung dalam saingan Liga Corgon selepas ini. 

“Saya sangat seronok kerana diberi peluang masuk sebagai pemain gantian. Tapi tak banyak boleh saya lakukan kerana beraksi kurang 10 minit. 
“Jadi saya harap jurulatih akan beri peluang untuk saya beraksi dalam kesebelasan utama selepas ini dan saya juga cukup bangga dapat beraksi untuk kelab ini,” ujar Fadhli, pemain pertahanan tengah. 

Wan Zack Haikal yang beraksi di posisi sayap masih belum berpeluang beraksi kerana sedang dalam proses pemulihan selepas cedera buku lali ketika aksi Kelayakan Olimpik menentang Jepun di Tosu, 21 September lalu.


INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!

September 20, 2011

Adik Harimaun Malaya Patah Taring!


Kalah setelah berjaya membelasah Filipina 6-0. 

HASRAT pasukan Harimau Muda B melangkah ke sai-ngan akhir Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Bawah 19 di Rangon, Myanmar terbantut selepas dikecewakan Vietnam, 2-1 semalam. 

Namun begitu, anak didik Ismail Ibrahim berjuang sehingga ke wisel penamat apabila berjaya mengikat kedudukan 1-1 pada babak pertama sebelum kelekaan pemain pertahanan menyebabkan pasukan Vietnam menempah slot ke final berdepan Thailand, esok. 

Pada penentuan tempat ketiga, Malaysia dijadual berentap dengan pasukan tuan rumah, Myanmar sebelum Thailand dan Vietnam turun ke gelanggang beradu kekuatan untuk menentukan kejuaraan edisi tahun ini. 

Pada saingan peringkat kumpulan, pemain negara menduduki tempat kedua di belakang Thailand dengan mencatat dua menang dan satau seri dan satu kalah bagi mengumpul tujuh mata secara keseluruhan. 

Paling membanggakan, mereka berjaya menggegar jaring lawan sebanyak 12 gol, dan hanya melepaskan satu gol termasuk kejayaan membelasah Filipina, 6-0 pada aksi terakhir kumpulan.

INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!

September 19, 2011

Adik Harimau Malaya Gah Mengaum di Myanmar

Gah menewaskan Filipina 6-0. 

HARIMAU Muda B, bakal dicabar apabila bertemu Vietnam pada aksi separuh akhir Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Bawah 19 Tahun di Yangon, Myanmar, hari ini.

Malaysia menepati sasaran ke separuh akhir, selepas muncul naib juara Kumpulan A dengan membelasah Filipina 6-0 pada perlawanan akhir peringkat kumpulan di Pusat Latihan Remaja, Yangon, semalam.

Malaysia mendahului 4-0 babak pertama, sebelum menambah dua lagi gol pada babak kedua untuk mengutip mata penuh serta menduduki tempat di belakang, Thailand.       

Sementara itu, Thailand akan menentang tuan rumah Myanmar pada satu lagi perlawanan separuh akhir, hari ini.       

Ketua jurulatih Harimau Muda B, Ismail Ibrahim, berkata beliau berpuas hati anak buahnya berjaya ke separuh akhir.       

“Pemainnya sudah belajar daripada kesilapan ketika kalah kepada Thailand dan kini kami berazam meningkatkan prestasi menentang Vietnam,” katanya. 

INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!

August 4, 2011

Harimau Muda, Harimau Terbaik Dari Ladang



BEKAS pengendali skuad Olimpik, B Sathianathan menyifatkan, barisan pemain Olimpik kendalian Ong Kim Swee adalah yang terbaik pernah dikumpulkan. 

Menurutnya, pemain yang ada ketika ini dilihat mantap, selain mempunyai persefahaman tinggi serta memiliki mutu permainan baik. 

“Saya lihat pasukan yang dibimbing Kim Swee mampu pergi jauh di peringkat antarabangsa kerana mereka sudah bersama dalam tempoh masa agak lama. 

“Selain itu, terdapat kualiti dalam pasukan ini, kerana beberapa pemain bermain untuk skuad utama kebangsaan, sesuatu jarang berlaku pada masa lalu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. 

Sathia berkata, situasi itu sedikit berbeza ketika beliau membimbing skuad Olimpik empat tahun lalu. 

Beliau berkata, ketika itu beliau tidak mempunyai banyak pilihan selain terpaksa mengumpul pemain dalam tempoh singkat. 

“Saya akui, dulu kita belum cukup sedia. Latihan cuma dijalankan selama sebulan menyebabkan pemain sukar mencari keserasian. 

“Ini berbeza dengan apa yang kita ada sekarang, mereka sudah bersama lebih setahun malah beraksi dalam Liga Super,” katanya. 

Mengulas mengenai kemenangan ketiga anak buah Kim Swee dalam aksi persahabatan di Slovakia semalam, Sathia berkata ia bagus kerana mampu menaikkan semangat dan moral pemain menjelang aksi peringkat kumpulan Kelayakan Olimpik London, September ini. 

Bagaimanapun katanya, pemain perlu berusaha dan bekerja keras, jika mahu menumpaskan Jepun, Syria dan Bahrain yang menanti Malaysia di Kumpulan C. 

“Jepun merupakan sebuah pasukan yang kuat dalam sukan bola sepak, begitu juga Syria dan Bahrain. 

“Namun dengan pelbagai program yang kita wujudkan, harapan amat tinggi untuk melihat Malaysia melangkah ke sukan Olimpik,” katanya. 

Malaysia bakal berdepan Jepun dalam perlawanan pertama Kumpulan C, 21 September depan sebelum aksi timbal balik di Kuala Lumpur pada 22 Februari tahun depan. 

Anak didik Kim Swee layak ke peringkat ketiga, selepas menyingkirkan cabaran Pakistan dan Lubnan di saingan awal kelayakan.

INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!

Harimau Muda Menang Lagi!



SKUAD Olimpik negara kendalian Ong Kim Swee, semakin menunjukkan keserasian apabila menundukkan Liptovsky Mikulas 2-1 pada aksi ketiga persahabatan di Slovakia, awal pagi semalam. 

Jaringan Hazwan Bakri dan Irfan Fazail, sudah cukup memberikan keputusan positif walaupun Mikulas berjaya mendapat gol sagu hati. 

Sebelum ini, anak didik Kim Swee memenangi dua perlawanan awal dengan menewaskan Moldava, 1-0, pada 26 Julai diikuti Topolcany, 2-0, Sabtu lalu. 

Selepas ini, anak buah Kim Swee berehat kira-kira lima hari sebelum berdepan Honved Budapest pada 9 Julai. 

Perlawanan di Slovakia itu, sebagai rangka persiapan menghadapi Kelayakan Sukan Olimpik 2012, kerana Malaysia diletakkan dalam Kumpulan C bersama gergasi Asia, Jepun, dan dua negara teluk Bahrain serta Syria. 

Malaysia bakal memulakan cabaran Kumpulan C berdepan Jepun di negara matahari terbit itu pada 21 September depan.

INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!

August 1, 2011

Harimau Muda tunjuk belang


PERJUANGAN skuad Harimau Malaya pimpinan Datuk K Rajagobal dalam Kelayakan Piala Dunia 2014 seperti diketahui umum sudah berakhir. Namun, prestasi terbaik dipamerkan anak buah Ong Kim Swee dengan memenangi dua perlawanan awal persahabatan di Slovakia cukup membangggakan. 

Pasukan bawah 23 tahun kebangsaan itu mula mempamerkan taring sebenar apabila menewaskan Moldava 1-0 pada 26 Julai, hasil jaringan Wan Zack Haikal dan kelmarin menumpaskan Topolcany 2-1 menerusi Ferris Danial dan Fandi Othman (penalti). 

Selepas ini, mereka masih mempunyai baki lima perlawanan perlu diharungi sehingga penghujung Ogos ini. 

Perkembangan terbaru dicatat Harimau Muda sedikit sebanyak memberikan keyakinan kepada peminat tempatan bahawa bola sepak negara masih ada sinar hara-pan di arena antarabangsa apatah lagi mereka bakal menghadapi saingan kelayakan peringkat kumpulan Sukan Olimpik 2012 bermula September depan. 

Namun, tidak bagi bekas pengendali kebangsaan, Wan Jamak Wan Hasaan, yang berpendapat, penilaian tidak boleh dilakukan dengan bersandarkan aksi persahabatan semata-mata. 

Menurutnya, perlawanan persahabatan dan aksi sebenar adalah dua situasi yang berbeza. 

“Bagi saya, memang ada peningkatan skuad kendalian Kim Swee kerana mereka sudah mencatat dua kemenangan berturut-turut aksi di Slovakia. 

“Tetapi, kita tidak boleh berpuas hati kerana itu sekadar pertemuan persahaba-tan. Walaupun menang bukan ukuran kerana kita tidak tahu kelemahan pasukan. 

“Baik kita kalah dahulu kerana jurulatih mungkin tahu di mana kesilapan dilakukan pemain. Tetapi, itu bukan bermaksud saya menggalakkan pemain bermain sambil lewa dalam aksi persahabatan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. 

Harus diingat, majoriti pemain dalam pasukan B23 masih muda dan semestinya diletakkan harapan tinggi peminat tanah air bagi mengulangi episod ceria layak ke Temasya Sukan Olimpik Muncih, Jerman Barat pada 1972 sebelum sekali lagi melakukannya pada 1980 di Moscow, Rusia. 

Kegagalan pasukan senior baru-baru ini menyebabkan seluruh penyokong negara meratapi kesedihan namun paling mengharukan apabila Stadium Nasional Bukit Jalil penuh segenap ruang sejak dibuka jam 5 petang. 

Terima kasih kepada penyokong kerana sanggup mengorbankan wang ringgit semata-mata hadir menyaksikan perlawanan bola sepak malah tidak berganjak walaupun pengadil meniupkan wisel penamat. 

Unit Meja Sukan Sinar Harian berdoa agar Kim Swee dan anak buah berjaya layak ke Sukan Olimpik London 2012 dan berharap penyokong memberikan sokongan padu kepada perjuangan mereka sehingga titian peluh terakhir.

INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!

February 2, 2011

Izzaq sasar satu gol satu perlawanan

SHAH ALAM, (D5) - Izzaq Faris Ramlan menjadi Harimau Muda A apabila dia mencetuskan kebangkitan pasukannya untuk mengatasi Pahang.

Kemasukannya pada separuh masa kedua memainkan peranan besar dalam mencetuskan kebangkitan pasukan itu sekaligus mengatasi Pahang dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam.

Meskipun hanya dimasukkan sebagai pemain gantian, Izzaq berjaya menyumbang dua gol serta menjadi nadi gerakan sehingga pengadil menghadiahkan penalti untuk pasukannya.

"Walaupun masuk sebagai pemain gantian, memang saya mengharapkan satu gol," jelasnya ketika ditemui sejurus selepas perlawanan.

Izzaq terlepas perlawanan menentang Negeri Sembilan Sabtu lalu dan namanya langsung tidak berada dalam senarai pemain kerana baru pulih daripada kecederaan hamstring yang dialaminya dalam persahabatan di Thailand.

Justeru katanya lagi, dia masih belum mencapai kecergasan sepenuhnya.

"Malam ini mungkin 90 peratus.

"Saya rasa masih kurang cergas.

"Tapi gol ini memberi saya semangat untuk dapat panggil untuk skuad kebangsaan," katanya.

Pemain kelahiran Kemaman Terengganu itu menanam azam melakukan yang terbaik dengan sasaran satu gol setiap satu perlawanan.

December 31, 2010

Suasana Semasa Ketibaan Wira Negara Di KLIA

ketibaan pemain bola sepak kebangsaan di sambut dengan begitu meriah di KLIA. ketibaan mereka ditunggu-tunggu oleh ramai peminat bola sepak tempatan. jom kita saksikan suasan ketibaan mereka.





















kredit picture: Nike Football Malaysia