LONDON: Wales mahu Ryan Giggs mengisi kekosongan jawatan selaku pengurus skuad kebangsaan dan dia juga dibenarkan untuk terus bermain bersama Manchester United.
Pemain sayap itu adalah pilihan utama menggantikan John Toshack dan Wales tidak mahu mengenakan syarat ketat kepadanya dalam usaha menarik minat Giggs untuk jawatan itu.
Nama Giggs, 36, akan dikemukakan kepada presiden persekutuan bola sepak Wales sebaik Toshack meletakkan jawatannya.
Toshack, 61, akan menyerahkan surat peletakan jawatannya minggu ini selepas enam tahun membimbing skuad kebangsaan Wales.
Bekas pengurus Real Madrid itu mahu menunggu hingga tamat perlawanan kelayakan Euro 2012 menentang Bulgaria dan Switzerland, Oktober ini tetapi beliau menyerahkan nasibnya kepada FA Wales.
Sumber FAW berkata: “Ryan disebut-sebut pengganti jangka panjang. Dia pasti akan dapat mempengaruhi pemain. Dia akan ditawarkan kontrak yang tidak akan menghalangnya daripada terus bermain.” Toshack pula sanggup untuk terus berada bersama skuad kebangsaan dan ia memudahkan Giggs yang masih mempunyai baki kontrak setahun bersama United.
Jika Giggs setuju, ia akan menyamai jejak langkah Mark Hughes yang menerima jawatan selaku jurulatih ketika masih beraksi bersama Blackburn.
Wales berdepan tugas sukar apabila tewas di tangan Montenegro pada kelayakan Euro 2012 minggu lalu dan Tosh mengakui pertemuan menentang Bulgaria adalah sesuatu yang perlu dimenangi.
Toshack berkata, beliau sudah membawa Wales setakat terdaya dan beliau juga sudah fikir masa depannya.
Ada kemungkinan beliau akan terus memegang jawatan untuk baki dua perlawanan tetapi jawatankuasa FAW yang bertemu di Cardiff semalam mungkin mengambil keputusan menamatkan tugas Toshack dalam masa terdekat ini. - Agensi
Sumber: Harian Metro