May 9, 2013

TRW capai misi buru 3 mata


Kota Bharu: Kelantan mencapai misi mengutip tiga mata penuh untuk memperbaiki kedudukan Liga Super apabila berjaya menewaskan FELDA United 3-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Tiga jaringan itu turut menyaksikan The Red Warriors (TRW) menghadiahkan kemenangan kepada Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa yang baru saja memenangi kerusi Parlimen Ketereh pada Pilihan Raya Umum (PRU-13), selain hadiah untuk hari lahir jurulatih, Bojan Hodak semalam.
Bermula babak pertama, kedua-dua pasukan tidak banyak mengatur gerakan berbahaya meskipun terdapat beberapa percubaan tetapi tidak menepati sasaran.

Bagaimanapun, tuan rumah mula menemui rentak pada minit ke-25 apabila penyerang, Indra Putra Mahayuddin melakukan hantaran lintang namun tandukan pemain baru, Ahmad Fakri Saarani sekadar melewati tiang gol.


Minit ke-29, Indra sekali lagi berjaya melepaskan rembatan kencang dalam kotak penalti tetapi ditepis penjaga gol, Mohd Helmi Eliza Elias.


Indra Putra membuktikan kemampuannya sebagai pemain berpengalaman apabila memecah kebuntuan pada minit ke-32 dengan melepasi dua pertahanan lawan sebelum melakukan percubaan yang menewaskan penjaga gol lawan.

Tiga minit berselang, Kelantan terus mengukuhkan kedudukan apabila Indra Putra sekali lagi menjaringkan gol apabila menanduk masuk hantaran lintang pemain pertahanan, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim.

FELDA United berpeluang merapatkan kedudukan pada minit ke-42 menerusi hantaran lintang, Ahmad Fauzi Shaari tetapi gagal ditanduk pemain importnya, Emmanuel Mazowa meskipun penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat sudah tergamam.

Minit ke-81 Indra Putra hampir melakukan hatrik namun terkena rembatannya terkena palang gol sebelum pemain pertahanan lawan mengeluarkan bola ke kawasan selamat.

Kemasukan penyerang berbisa Kelantan, Dickson Nwakaeme pada minit ke-83 menggantikan Ahmad Fakri menambahkan sengat jentera serangan malah sentuhan pertamanya hampir menjaringkan gol namun percubaannya leretnya sedikit tersasar ke kanan gawang.

Dua minit masa tambahan memberi peluang kepada ketua pasukan, Mohd Badhri Radzi untuk menjaringkan gol ketiga TRW selepas menerima lorongan cantik daripada Nwakaeme sebelum pengadil perlawanan Zamzaidi Katimin meniupkan wisel penamat.-mymetro