February 15, 2012

Wolves Pecat McCarthy Selepas Tewas 5-1



LONDON - Tidak sampai dalam tempoh 24 jam selepas kekalahan memalukan 5-1 kepada West Bromwich Albion di laman sendiri, Wolverhampton Wanderers melakukan tindakan drastik memecat pengurus, Mick McCarthy (gambar).


Bekas pengurus skuad antarabangsa Ireland itu yang berusia 53 tahun mengambil alih kelab pada tahun 2006 dan membawa Wolves kembali menyertai saingan liga elit pada Liga Perdana England pada tahun 2009.


Namun, dengan hanya satu kemenangan dalam 11 perlawanan liga terakhir dan berada di tangga ke-18 selepas ditewaskan pasukan jiran mereka itu hasil jaringan hatrik Peter Odemwingie di Molineux.


''Lembaga pengarah mengambil keputusan yang sukar melucutkan jawatan McCarthy selepas melihat Wolves sekadar mengutip 14 mata dalam 22 perlawanan terakhir liga.


''Terry Connor(pembantu McCarthy) akan mengendalikan sementara waktu tugasan yang ditinggalkan sebelum pengurus baru dilantik.


''Lembaga pengarah mahu mengucapkan terima kasih atas segala jasa Mick McCarthy ketika bersama kami dan mengucapkan selamat maju jaya ke mana sahaja kelab yang akan dikendalikan oleh dia selepas ini, " menurut kenyataan rasmi kelab berkenaan.