December 10, 2011

Ulang Tahun 125 Mahu Benam Everton



LONDON - Arsenal mahu menyambut ulang tahun ke-125 penubuhan kelab itu dengan bergaya apabila mahu menjinakkan Everton dalam pertemuan liga di Stadium Emirates hari ini.

Ulang tahun penubuhan kelab itu hadir ketika skuad bimbingan Arsene Wenger berada dalam rentak positif selepas bangkit daripada prestasi hambar pada permulaan musim yang meletakkan Gunners terperosok di bawahan liga.

Arsenal kalah kepada kelab Greece, Olympiakos pada pertengahan minggu lalu tetapi sudah melayakkan diri ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara manakala di dalam liga, Gunners tidak pernah kalah dalam tujuh perlawanan terakhir liga.

Wenger percaya usahanya membawa masuk seberapa ramai pemain berpengalaman pada hari terakhir pintu perpindahan telah memberikan kesan positif apabila bergandingan dengan pemain-pemain muda.

''Kami nampak lebih matang pada masa sekarang. Anda boleh rasai ketika kami melalui saat-saat sukar dalam sesuatu perlawanan kerana kami tidak panik dan tidak memberikan gol-gol mudah. Itu memberikan saya kelegaan," katanya.

Kehebatan Arsenal dalam liga mutakhir ini dibantu oleh kehebatan kapten, Robin van Persie yang menjaringkan sebanyak 13 gol dalam 10 penampilan terakhir. - AFP



INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!