December 2, 2011

Ferguson Mohon Maaf



MANCHESTER - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson memohon maaf kepada peminat United selepas pasukannya tumpas mengejut 1-2 di laman sendiri kepada kelab Kejuaraan, Crystal Palace pada suku akhir Piala Liga semalam.

Ferguson kecewa dengan cara pasukannya tewas dalam perlawanan tersebut yang menyaksikan adik beradik kembar, Da Silva dan Dimitar Berbatov gagal menamatkan permainan kerana mengalami kecederaan.

Penyerang Bulgaria itu cedera buku lali sejak awal permainan dan meninggalkan Old Trafford dengan kaki berbalut dan hampir pasti terlepas aksi Liga Perdana Inggeris di Aston Villa, esok.

Kekalahan kepada Palace merupakan kali kesembilan United dikejutkan lawan dari liga bawahan dalam Piala Liga sejak 1990 dan Fergie nyata berang dengan persembahan anak buahnya.

Palace mendahului menerusi rembatan jarak jauh Darren Abrose sebelum Federico Macheda menyama kedudukan menerusi sepakan penalti untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Namun, Glenn Murray muncul wira Palace apabila menanduk gol kemenangan yang berpunca daripada sepakan sudut Ambrose untuk mengesahkan kemaraan mereka ke separuh akhir dan dijadual bertemu pasukan Cardiff City.

"Saya tidak tahu apa yang mahu dikatakan. Saya meminta maaf kepada peminat-peminat kerana ia bukan persembahan sebenar Manchester United.

"Palace memang berhak menang dan saya mahu mereka mara sehingga ke final kerana mereka berusaha begitu keras sedangkan kami hanya perlu menyalahkan diri sendiri.

"Apabila berlanjutan ke masa tambahan, saya fikir kita pasti menang namun ia tidak berlaku. Kita banyak menguasai bola tetapi tidak menghasilkan apa-apa daripadanya." - AFP


INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!