October 6, 2011

England Harus Menang!



JOHN TERRY (kiri), Wayne Rooney (dua dari kanan) dan Frank Lampard (kanan) tekun mendengar nasihat Fabio Capello pada sesi latihan skuad England di London Colney kelmarin.

England hanya perlu mencatat keputusan seri pada aksi kelayakan menentang Montenegro, Sabtu ini untuk mengesahkan slot ke pusingan akhir Euro 2012.
Begitupun, pengurus skuad The Three Lions, Fabio Capello mahu anak-anak buahnya bermain bersungguh-sungguh, sekali gus memenangi perlawanan itu.
Penggendali kelahiran Itali itu hampir pasti untuk membawa England ke Poland dan Ukraine tetapi menyedari kekalahan bakal meletakkan dirinya dalam situasi bahaya.
"Kami mahu bermain untuk memenangi perlawanan ini, bukan untuk seri," kata Capello.
"Sekiranya kami bermain untuk seri, ia adalah satu kesilapan yang besar, kamu tidak fokus pada perkara-perkara yang sepatutnya.
"Selepas itu, kamu akan melakukan kesilapan mudah dan bodoh. Kami perlu bermain dengan gaya yang sama seperti pada perlawanan sebelum ini."
Sementara itu, penyerang Manchester United, Danny Welbeck yakin dia dan Wayne Rooney mempunyai kemampuan yang besar untuk mengetuai jentera serangan England.
Malah tiada sebab untuk mana-mana pihak perlu mengubah tanggapan itu kerana mereka sudah memahami corak permainan antara satu sama lain.
"Saya tidak nampak kenapa kami tidak boleh menjadi gandingan yang digeruni dalam skuad England. Kami sudah bersama agak lama.
"Kami berlatih bersama-sama sejak di awal karier lagi. Jadi, sudah tentu ia akan menjadi kerana kami mengetahui corak permainan masing-masing.
"Malah, prestasi awal musim Rooney juga agak hebat apabila banyak mencipta peluang dan menjaringkan gol," ujar Welbeck.
Welbeck juga menganggap setiap kali beraksi dan berlatih dengan Rooney adalah merupakan satu bonus untuk terus bekerjasama dengan lebih mantap.
"Dia seorang yang baik dalam memberi nasihat. Sentiasa ramah ketika dalam permainan atau latihan. Ia cukup memberi faedah buat saya," tegasnya.
Kemungkinan Welbeck dan Rooney digandingkan buat kali pertama oleh Capello tetap ada kerana kedua-duanya berada dalam senarai pemain yang terpilih.


INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!