September 17, 2011

Kelayakan Olimpik London 2012 | Semangat Bekobar-kobar Tewaskan Penjajah!

"SAYA pernah berdepan pasukan Jepun di Guangzhou 2010 dan mereka diakui memang cukup baik dengan asakan dari setiap sudut. Tetapi apa yang penting, kami akan main dengan cara kami."

Itu tekad kapten dan penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat sejurus sebelum berlepas dengan rakan sepasukan dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) ke Fukuoka semalam, sambil diiringi semangat membara untuk ‘menjajah’ Jepun ketika sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2011.

Skuad bimbingan Ong Kim Swee dijadual berdepan Jepun di Stadium Tosu, Wilayah Saga pada aksi sulung Kumpulan C pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2012, Rabu ini.

“Berlepas pula pada Hari Malaysia, sudah pasti semangat kami cukup berkobar-kobar mahu mencipta kejutan di bumi Jepun. InsyaAllah, kalau ada rezeki,” kata Khairul Fahmi.

Lapan pemain Jepun yang menjuarai Sukan Asia 2010 masih berada dalam skuad bimbingan Takashi Sekizuka iaitu Shunsuke Ando, Takuya Masuda, Yusuke Higa, Daisuke Suzuki, Kazuya Yamamura, Keigo Higashi, Hotaru Yamaguchi dan Kensuke Nagai.

Tetapi lapan pemain negara yang ketika itu dibimbing Datuk K Rajagobal turut beraksi ketika tewas 0-2 di Stadium Huadu, Guangzhou iaitu Khairul Fahmi, Mahali Jasuli, Fadhli Shas, Muslim Ahmad, Fandi Othman, K Gurusamy, Izzaq Faris Ramlan dan Faizal Abu Bakar.

Malah, Kim Swee turut yakin dan akan memanfaatkan tempoh latihan empat hari di Kokura, sebelum ke Tosu pada Isnin untuk menggilap strategi dan taktikal yang dirancangnya selama ini.

“Saya sudah mengkaji video aksi Jepun bertemu Kuwait (pusi­ngan kedua kelayakan). Mereka memang cukup bagus tetapi kami tidak terlalu fikirkan sangat kekuatan mereka. Kami perlu fikir untuk memberi tentangan sengit, masuk ke padang dengan strategi sendiri dan semangat juang tinggi,” kata Kim Swee.


INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!