September 17, 2011

Karathu: Kalah Pengajaran Buat Kelantan

Optimis bangkit baki perlawanan seterusnya. 

KETUA Jurulatih The Red Warriors, Datuk M Karathu optimis juara bertahan itu mampu bangkit pada perlawanan menentang Sarawak malam esok, selepas 'kalah bermaruah' kepada FELDA United FC 0-2 dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia, Rabu lalu.

Walaupun tidak lagi menduduki tangga teratas Kumpulan C selepas gagal mempertahankan rekod tanpa kalah mereka, Kelantan masih yakin mampu mara ke peringkat suku akhir.

“Kekalahan ini menjadi satu pengajaran kepada kita. Ya… kami masih ada baki tiga perlawanan. Saya tidak peduli sama ada muncul juara atau naib juara (kumpulan) kerana saya percaya pasukan akan layak ke suku akhir.

“Yang penting, perlu menang semua baki perlawanan,” katanya.

Skuad kendalian E Elavarasan merampas tangga teratas kumpulan selepas mengutip sembilan mata daripada tiga perlawanan setakat ini menerusi dua gol dalam setiap babak menerusi Farderin Kadir dan D Saarvindran dalam saingan di Stadium MP Selayang.

Walaupun keadaan padang becak menyebabkan pemain gagal menunjukkan kemampuan sebenar, pengendali 68 tahun itu tidak mahu menjadikannya sebagai punca kekalahan kepada pasukan berstatus kelab itu.

“Pemain beraksi cemerlang dengan semangat juang tinggi dan menguasai hampir keseluruhan permainan tetapi terpaksa akur ia tidak cukup untuk menundukkan FELDA United.

“Kami membuat kesilapan dengan membenarkan lawan menjaringkan gol pada separuh masa pertama dan walaupun memiliki beberapa peluang menerusi Azammuddin (Mohd Akil), Norshahrul Idlan (Talaha) dan Muhd Badhri (Radzi) sendiri yang menanduk liar pada ketika pintu gol mereka ternganga," katanya.

“Saya juga akui ketangkasan penjaga gol Mohd Hamsani (Ahmad) menafikan hasrat kami untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata pada perlawanan itu,” katanya.


INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!