December 9, 2010

Maruah Bola Sepak Malaysia-AFF Suzuki Cup 2010


Semangat pasukan kebangsaan kini semakin berkobar-kobar untuk mengulangi perlawanan dengan Indonesia setelah skuad Malaysia tewas kepada Indonesia 5-1 pada 2 Disember lalu. Perasaan ingin mengulangi kembali perlawanan ini dinyatakan sendiri oleh jurulatih skuad kebangsaan K Rajagobal setelah Malaysia berjaya menundukkan Laos dengan jaringan 5-1. Selain daripada jurulatih skuad negara, kapten pasukan Malaysia Syafiq Rahim juga mempunyai keinginanan untuk berentap kembali dengan Indonesia tetapi kali ini dalam pentas final AFF Suzuki Cup.

Perasaan ini mula wujud apabila skuad Malaysia berjaya melangkah ke separuh akhir apabila berjaya menewaskan Laos dengan jaringan 5-1. Kini impian pasukan negara ialah final dan harapan Malaysia sekiranya berjaya ke final ialah bertemu dengan pasukan tuan rumah Indonesia.

Sebelum perlawanan dengan tuan rumah 2 Disember lepas, penyokong-penyokong Indonesia dikatakan bersikap kurang ajar semasa lagu Negaraku dimainkan. Mereka bukan saja tidak berdiri malah laungan 'maling' dan 'ganyang Malaysia' dipekik oleh mereka. Penghinaan sebegini seharusnya tidak wajar berlaku dalam sukan bola sepak. Jadi dengan hanya menewaskan Indonesia di peringkat final sahaja mampu untuk menutup mulut penyokong Indonesia yang biadap itu.

Namun begitu, persoalannya sekarang, mampukan pasukan kita ke final? Melihat kepada prestasi semasa, harapan ini seolah-olah samar dan mungkin mustahil untuk dicapai. Jika kita melihat corak permainan pasukan kebangsaan kita, corak bertahan digunakan dan corak menyerang jarang digunakan. Sebenarnya inilah kelemahan pasukan kita. Apabila kita sentiasa bertahan, semestinya pasukan lawan akan menggunakan segala kelebihan mereka untuk memastikan benteng pasukan berjaya ditembusi.

Jadi, pada pendapat saya, kita seharusnya mengubah strategi dari bermain secara bertahan kepada bermain dengan corak menyerang. Dengan menggunakan corang menyerang, semestinya ia akan menjadikan pihak lawan tidak akan senang duduk dan sentiasa berhati-hati dengan serangan yang akan dilakukan. Kita mempunyai penyerang dan juga pemain sayap yang laju. Jadi mereka boleh digunakan untuk mengucar-ngacirkan pemain pertahanan pihak lawan.

Saya juga tidak dapat melihat formasi yang digunakan oleh pasukan Malaysia dalam setiap perlawanan. Hal ini kerana setiap pemain sentiasa hilang fokus dan sentiasa meninggalkan posisi masing-masing. Bagi saya sekiranya kita menggunakan formasi 4-5-1 adalah yang terbaik berdasarkan prestasi pemain kita sekarang. Dengan menggunakan formasi ini, kita akan dapat mengawal permainan di bahagian tengah kerana dalam setiap perlawanan bola sepak, sekiranya kawalan di bahagian tengah lemah, pasti akan membuka ruang kepada pihak lawan untuk membuat gerakan yang berbahaya.

Selain itu, dengan menggunakan formasi 4-5-1, lebih mudah untuk pasukan kita membuat counter attack kerana kita mempunyai pemain sayap yang laju seperti Kunalan dan Amirulhadi. Kita juga boleh meletakkan Kunalan dan Norshahrul sebagai pemain sayap dan menjadikan mereka inside forward. Dengan menjadikan mereka inside forward, pasukan akan dapat menyerang dengan lebih efisien. Selain itu, Safee Sali diletakkan menjadi complete striker. Letakkan Safee sebagai backup kepada inside forward. Dengan formasi ini akan lebih menjadikan pergerakan pasukan kebangsaan kita sukar dibaca oleh pemain lawan dan kita akan dapat mengatur corak perlawanan dengan lebih kemas.

Ini hanyalah pendapat saya sekiranya kita mempunyai keinginan untuk melangkah ke final dan membalas dendam di atas kekalahan memalukan ke atas Indonesia. Kita tahu bahawa kebanyakan penyokong Indonesia tidak suka dan benci kepada Malaysia di atas faktor sejarah lampau. Namun, kita tidak seharusnya cepat melatah dan harus bermain dengan profesional agar bola sepak kita tidak lagi dipandang rendah oleh mana-mana pihak.