September 12, 2010

The Reds Tak Gusar


LIVERPOOL: Ketika bintang Belanda, Dirk Kuyt terpaksa berehat empat minggu kerana kecederaan, jentera Liverpool masih mampu mengharapkan sentuhan ketua pasukan England, Steven Gerrard dan bintang serangan Sepanyol, Fernando Torres.

Anak buah Roy Hodgson itu akan berdepan cabaran pasukan di tangga keenam, Birmingham City di Stadium St Andrew’s malam ini, perlawanan keempat mereka bagi kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dan kelapan secara keseluruhan.


Dua watak - Gerrard dan Torres mampu menyelamatkan musim Liverpool yang kini terperosok di tangga ke-13, selepas menang sekali, seri sekali dan kalah sekali dalam kempen mereka setakat ini.


Gerrard pasti mahu meneruskan rentak cemerlang selepas membantu England memenangi kedua-dua perlawanan pertama mereka dalam kempen kelayakan Euro 2012 baru-baru ini, mengalahkan Bulgaria 4-0 dan Switzerland 3-1.


Kekuatan Gerrard atau lebih dikenali sebagai Stevie G di kalangan penyokong fanatik Anfield, adalah keupayaannya untuk bangkit daripada kegagalan mahupun kekecewaan dalam kehidupan.


Dia mungkin tidak senasib penyerang Manchester United, Wayne Rooney yang berdepan masalah keruntuhan rumah tangga, namun perceraian kedua ibu bapanya pada 2002 menjejaskan sedikit sebanyak persembahannya di atas padang.


Gerrard mengaku selepas perceraian kedua ibu bapanya, perancang utama itu mempamerkan persembahan terburuk sepanjang kariernya pada perlawanan Liga Juara-Juara Eropah menentang kelab Switzerland, FC Basel.


“Ya, kedua ibu bapa saya berpisah, tapi ia sekadar satu alasan,” imbau Gerrard. “Saya memang teruk sekali ketika itu.


“Anda perlu mencari alasan untuk menyalahkan sesuatu. Ia mungkin satu daripada persembahan paling buruk pernah saya pamerkan. Saya memang berhak dibelasah ketika rehat babak pertama.


“Tapi daripada situ anda belajar sesuatu, sesuatu yang berlaku dalam kehidupan anda, sepanjang karier anda, yang bagus dan buruk. Anda menjadi seorang pemain yang lebih bagus daripada keadaan itu.


“Saya duduk berseorangan dalam bilik persalinan, selepas digantikan dalam satu daripada perlawanan pertama saya dalam Liga Juara-Juara.

“Ia pastinya situasi paling teruk dalam karier saya. Tapi ia membantu anda menjadi pemain seperti sekarang. Anda belajar daripada pengalaman,” katanya.


“Ia berlaku lapan tahun lalu. Saya tidak menoleh ke belakang. Saya hanya memandang ke depan dan saya pastinya tidak akan memikirkan mengenai persembahan itu lagi.” Torres, yang menjaringkan dua gol ketika Sepanyol mengalahkan Liechtenstein 4-0 pada kempen kelayakan Euro 2012 minggu lalu, turut berasakan dia kini pada tahap terbaik dan mampu mengemudi Kops mencetak kemenangan menentang Birmingham malam ini.


“Proses pemulihan ini amat bagus dan saya masih menanti masanya. Saya masih tidak cergas 100 peratus, tapi anda anda menyaksikan yang terbaik daripada Torres tidak lama lagi.


“Setiap kali saya menjalani pemulihan, ia amat bagus dan saya harap mampu meraih kejayaan dengan Liverpool musim ini.” Torres menjaringkan gol tunggal kemenangan ketika Liverpool mengalahkan West Bromwich Albion 1-0 pada 29 Ogos lalu, kemenangan pertama mereka dalam EPL musim ini.

Sumber: Harian Metro