September 30, 2010

FAM Dicadang Buka Pintu Liga M Kepada Pasukan Dari Asia - Annuar Musa


SHAH ALAM, 29 Sept (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dicadang membuka pintu kepada pasukan-pasukan kelab dari rantau Asia untuk bermain dalam liga tempatan bagi meningkatkan mutu sukan tersebut di negara ini.

Cadangan tersebut yang dilontar sendiri oleh Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa adalah bertujuan meningkatkan kualiti pemain tempatan dan memberi nilai tambah dari segi hak penyiaran perlawanan.

"Saya rasa kita bukan sahaja perlu mengambil pemain import dari sebelah barat tapi perlu mengambil pemain import dari Asia. Ini kerana penonton dari bahagian Asia seperti Thailand, Indonesia, Vietnam pastinya ingin melihat pemain mereka beraksi bersama pemain kita di negara ini.

"Secara tidak langsung liga negara kita dapat dikenali dan seterusnya dapat melonjakkan nilai kepada penyiaran negara kita," katanya kepada pemberita, di sinii.

Annuar memberikan cadangan tersebut pada sesi penerangan dan pengelolaan Liga Malaysia 2011-2014 yang dianjurkan oleh FAM selama dua hari bermula hari ini hingga esok, di sebuah hotel, di sini.

Sesi percambahan minda itu diadakan dengan tujuan menambah baik perjalanan Liga Malaysia pada musim depan termasuk membincangkan isu kemasukan kembali pemain import dalam liga tempatan.

Beliau berkata dengan pendedahan tersebut, pemain kebangsaan akan dapat berinteraksi dengan pemain serantau malah antarabangsa di dalam negara ini.

Beliau berkata jika semua cadangan diterima pada sesi tersebut, Liga Malaysia dijangka akan pesat berkembang, meriah dan kembali profesional dalam tempoh empat tahun.

Katanya dengan keadaan itu, ranking negara akan dapat diperbaiki.

FAM, katanya, sedang mencari jalan untuk menaikkan kembali imej dan kualiti bola sepak negara dengan pelbagai perubahan.

-- BERNAMA