December 10, 2011

Aksi Clasico Messi, Ronaldo




PARIS - Selepas lima hari disenarai pendek untuk anugerah Ballon d'Or, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo kembali berdepan dalam pertembungan Clasico pertama musim baru Liga Sepanyol hari ini.
Selain mereka, Xavi - pemain ketiga yang turut dicalonkan untuk anugerah yang sama juga akan berada di Santiago Bernabeu hari ini, sekali pun namanya tidaklah segah Messi dan Ronaldo.

Pasukan Jose Mourinho telah menang dalam 15 perlawanan sebelum ini, sekali gus menyamai rekod kelab dan mereka mampu untuk menjarakkan kedudukan dengan enam mata jika dapat mengalahkan penyandang juara itu.

Sebagai tambahan, rekod Barca dalam perlawanan di luar gelanggang agak suram.
Anak-anak buah Pep Guardiola hanya menang dua kali dalam enam perlawanan musim ini dan kesemuanya dengan margin 1-0.

Messi, pemenang Ballon d'Or tahun lepas amat menyukai pertemuan ini. Dia telah menjaringkan gol sebanyak 13 kali dalam 15 pertemuan dengan Real Madrid, malah dia tidak sabar untuk berdepan Iker Casillas.

Sementara itu, Ronaldo bangkit daripada ketinggalan musim lepas, menyertai Messi selaku penjaring terbanyak dengan rekod 40 gol untuk musim 2010-11.

Musim lepas juga menjadi ingatan buat pemain Portugis itu apabila dia menjaringkan gol menentang Barcelona buat pertama kali dalam perlawanan yang menyaksikan seri 1-1 di Bernabeu. 

Selepas beberapa hari menjaringkan gol tersebut, pemain berusia 26 tahun itu membantu pasukannya memenangi Copa del Rey dengan tandukan cantik dalam masa tambahan menentang Barcelona.

Apa pun, Ronaldo hanya menjaringkan tiga gol daripada sembilan penampilan menentang Barcelona dan sejak kekecewaan pada Copa del Rey, Messi telah menjaringkan gol cantik dalam pertemuan pertama separuh akhir Liga Juara-Juara kedua-dua kelab itu.

Rekod hebat Messi sukar untuk menyaksikan dia akan terlepas genggaman Ballon d'Or dan Ronaldo enggan bercakap mengenainya. - AFP

sumber

INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!