October 1, 2011

Skuad Harimau Malaya Berentap Esok


SKUAD bola sepak kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal bakal diuji skuad Sukan SEA (B-23) negara bimbingan Ong Kim Swee pada aksi persahabatan di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya, petang esok. 

Ia dijadikan ujian terakhir Rajagobal menguji 25 pelatihnya sebelum mengumumkan senarai 22 pemain untuk berlepas ke Canberra, awal pagi Selasa bagi menghadapi Australia pada persahabatan antarabangsa, Jumaat depan.
Namun bagi Kim Swee pula, ia tidak dapat dijadikan medan penilaian sebenar buat 21 pelatih skuad Sukan SEA negara memandangkan mereka hanya mula berkumpul untuk kem latihan pusat di Wisma FAM, malam ini.
“Datuk Rajagobal meminta perlawanan ini kerana beliau tidak dapat mencari pasukan lawan lain dalam masa terdekat ini. Jadi saya menerimanya biarpun tak dapat nak menilai pemain hanya selepas sehari kami berlatih. 

“Tapi ia bukan masalah untuk kami (skuad Sukan SEA) memberi cabaran terbaik kepada skuad kebangsaan. Daripada 21 pemain yang ada, saya akan uji mereka setiap 45 minit sebagai penilaian awal,” kata Kim Swee ketika dihubungi, semalam. 

Lima hingga lapan pelatih semasa akan digugurkan Kim Swee sebaik lagi 12 pemainnya - Khairul Fahmi Che Mat, Zubir Azmi, Muslim Ahmad, Mahali Jasuli, K Gurusamy, Izzaq Faris Ramlan, Syahrul Azwari Ibrahim, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, K Reuben, Asraruddin Putra Omar, Baddrol Bakhtiar dan Yong Kuong Yong kembali selepas tugasan di Australia itu. 

“Tempoh seminggu ini perlu digunakan terutamanya beberapa pelatih baru (See Kok Luen, Ab Aziz Ismail, Syazwan Roslan, D Saarvindran dan K Reuben) untuk menunjukkan prestasi, disiplin dan komitmen,” jelas Kim Swee yang hanya akan membawa 20 pemain ke kejohanan jemputan Piala VFF 2011 di Hanoi, Vietnam, 19 hingga 23 Oktober depan. 

INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!