September 8, 2010

Masa Depan Belum Diputus


LONDON: Masa depan Wayne Rooney (gambar) di Manchester United belum diputuskan.
Akhbar The Sun mendedahkan Rooney belum terbabit dengan perbincangan untuk kontrak baru di Old Trafford.

Bagaimanapun, pengurus United, Alex Ferguson pernah berkata, penyerang England itu akan menandatangani kontrak baru yang menyaksikan dia menerima bayaran £140,000 (RM672,267) seminggu.


Dan ketika Rooney terbabit dengan skandal seks, penangguhan kontrak baru itu mula diperkatakan.


Sumber dalaman menyebut: “Jika Rooney melangkah ke musim panas akan datang tanpa sebarang kontrak baru, nilai perpindahannya akan merudum dan United akan kerugian jutaan ringgit. Pemain itu juga boleh menyertai mana-mana kelab.” Bekas rakan sepasukan, Cristiano Ronaldo mengalu-alukan kedatangan Rooney ke Real Madrid dan ketika masa depannya bersama isteri, Coleen hangat diperkatakan di setiap pelusuk negara, ramai yang bimbang Rooney, 24, akan meninggalkan Liga Perdana dan beraksi di luar negara.


Sebelum Piala Dunia, ada khabar angin mendakwa dia akan kekal di United menerusi kontrak baru lima tahun dan bakal menjadi pemain termahal di kelab itu.


Tetapi nilai penyerang itu semakin menurun selepas aksi hambar di Piala Dunia.


United belum mahu memulakan perbincangan walaupun Ferguson ingin bintangnya itu kekal. Rooney masih mempunyai baki kontrak selama 18 bulan bersama United.


Pertemuan pertamanya dengan ketua eksekutif, David Gill sepatutnya berlaku dua minggu lalu tetapi perbincangan bertujuan menyambung kontrak pemain itu gagal dijalankan.


Rooney adalah pemain yang sedang menjulang imej United dan gambarnya bersama jersi Red Devils itu terpampang di mana-mana papan iklan dan ia juga berpengaruh untuk membawa masuk penaja baru.


Tetapi imej itu semakin pudar sejak bulan lalu - faktor yang memberi kesan kepada perbincangan mengenai kontrak barunya.


Kelab dikatakan enggan berkompromi dengan pemain itu terutama apabila imej baik yang selama ini terpancar di wajahnya semakin hilang.

Bulan lalu, gambar Rooney yang membuang air kecil di tepi jalan, disiarkan akhbar. Itu belum lagi dengan gambarnya menghisap rokok dan menyanyi ketika sedang berhibur.


Kini, cerita mengenai dirinya yang mengadakan hubungan seks dengan pelacur ketika isterinya mengandung pula heboh diperkatakan.


Aksinya di tengah padang pula bukannya bertambah baik apabila kecederaan melanda hujung musim lalu selain gagal menyinar di Piala Dunia.


Dia turut menunjukkan aksi tidak senonoh di depan kamera televisyen selepas England sekadar seri dengan Amerika Syarikat pada Piala Dunia lalu. - Agensi

Sumber: Harian Metro