February 15, 2012

"Saya dilayan seperti binatang," Tevez



MANCHESTER - Penyerang kontroversi Manchester City, Carlos Tevez mendakwa dia dilayan seperti binatang oleh pengurusnya, Roberto Mancini.


Pemain berusia 28 tahun itu kembali ke pangkuan kelabnya selepas tidak beraksi bersama pendahulu Liga Perdana England itu sejak September tahun lalu.


Ia ekoran tindakan Tevez yang enggan mematuhi arahan Mancini ketika City menentang kelab gergasi Jeman, Bayern Munich pada aksi Juara-Juara Liga.


Selepas enam bulan insiden tersebut berlaku, Tevez yang pulang ke Argentina tanpa kebenaran majikannya pada November lalu, mendedahkan perkara sebenar yang berlaku di Jerman.


Tevez berkata, ketika insiden itu, Mancini telah bertengkar dengan rakan sepasukannya, Edin Dzeko sebelum pengurus tersebut merancang untuk menukarkanya dengan penyerang Argentina tersebut.


"Beliau melihat saya di bangku simpanan (kemudian) beliau marah dan menyuruh saya melakukan sesi pemanas badan sekali lagi dengan nada yang keras," kata Tevez.


Terdahulu, Mancini berkata, masalah Tevez sudah selesai apabila beliau membayangkan bekas penyerang Manchester United itu masih mempunyai peranan penting bagi membantu City menjuarai gelaran liga sejak tahun 1968.


Tevez menambah, dia amat gembira untuk beraksi bersama kelabnya itu jika Mancini serius untuk mendapatkan khidmatnya kembali.


Namun, dia menuntut bekas jurulatih Inter Milan itu membersihkan imejnya dan mendedahkan perkara sebenar.


"Jika saya salah, saya akan minta maaf. Secara jujur, saya percaya saya tidak membuat kesilapan."


"Jika ia benar (Mancini mengalu-alukan saya kembali), sudah tentu saya gembira, tetapi jika ia (bertujuan) untuk media, jawapannya tidak," tegas Tevez. - Reuters