February 13, 2012

Rumput Tiruan Kandang Singa Alasan Rusa Gagal Lari



SEREMBAN - Gagal menyesuaikan diri dengan padang tiruan di Stadium Jalan Besar, Singapura antara penyebab Juara Piala Malaysia musim lalu, Negeri Sembilan tumbang 3-1 di tangan Lions XII dalam aksi Liga Super, kelmarin.


Malah pengendali Negeri Sembilan, Mohd. Azrai Khor Abdullah mengakui, persembahan yang dipamer ketika menentang Lions XII antara yang terburuk, tahun ini.


Jelas beliau, berikutan beraksi di padang tiruan itu menyebabkan anak buahnya sukar mengawal bola, sekali gus menyebabkan persembahan pemain kucar kacir.


''Sebelum perlawanan ini kita sedia maklum dengan padang rumput tiruan di stadium berkenaan dan telah membuat beberapa perancangan.


''Namun apabila kita bermain di padang sebenar, jelas ia sukar untuk pemain, sekali gus memberi kelebihan kepada pasukan lawan," katanya semalam.


Mohd. Azrai juga memberitahu, keadaan di Stadium Jalan Besar turut mengakibatkan beberapa pemainnya mengalami kecederaan berikutan permukaan padang yang jauh berbeza berbanding padang rumput sebenar.


''Saya harap selepas perlawanan ini akan memberi dimensi yang beza kepada pemain kerana bermain di padang tiruan adalah sesuatu yang baru kepada mereka.


''Walaupun tewas kita tidak mudah putus asa dan saya mahu semua pemain untuk bangkit mencatatkan kemenangan pada perlawanan akan datang," jelasnya.


Dalam perlawanan tersebut Lions XII memperoleh gol melalui kapten, Shahril Ishak pada minit ke-30 dan 60 sebelum Shahdan Sulaiman melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah dengan gol pada minit ke-49.


Manakala skuad Hoben Jang Hoben berjaya mendapat gol sagu hati menerusi pemain gantian, Firdaus Azizul pada minit-minit akhir perlawanan.