February 14, 2012

Ronaldo Raih Hatrik Lagi



MADRID: Cristiano Ronaldo meraih hatrik keenam bagi dirinya musim ini apabila Real Madrid mengambil langkahan besar ke arah memenangi La Liga kelmarin, bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Levante 4-2 dan melebarkan pendahuluan kepada 10 mata ke atas Barcelona. 


Selepas Gustavo Cabral memberikan kejutan dengan gol pendahuluan, Ronaldo memperoleh gol pertamanya menerusi sepakan penalti ekoran bola terkena tangan Vicente Iborra, yang turut dibuang padang ekoran menerima kad kuning kedua.


Ronaldo menanduk masuk hantaran lintang Gonzalo Higuain pada minit ke-49 dan kemudian melengkapkan hatriknya dengan rembatan cantik dari jarak 30 meter yang menerjah ke bahagian atas jaring gol.


Satu jaringan tandukan oleh Arouna Kone kemudian memberikan sedikit harapan buat Levante, tetapi Karim Benzema menjaringkan gol keempat untuk Real pada minit ke-65. 


Tatkala Barcelona, yang tewas 3-2 kepada Osasuna di tempat lawan Sabtu lalu, Real tampak dalam prestasi yang begitu cemerlang apabila menang 19 daripada 22 perlawanan mereka dan menjaringkan 75 gol yang meletakkan mereka di landasan untuk meraih kejuaraan liga pertama sejak 2008. 


“Masih ada banyak mata dan banyak perlawanan menanti dengan semua adalah sukar kerana ada banyak faktor yang mempengaruhi,” kata jurulatih Real, Jose Mourinho. “Kami perlukan lebih 39 mata lagi untuk menjadi juara – 13 kemenangan tetapi perbezaan 10 mata ini kini memberikan kami ruang untuk melakukan kesilapan.” – AFP