February 11, 2012

Red Giant Mahu Benam Adik Sendiri



GERGASI MERAH, Selangor tidak lagi boleh keciciran tiga mata berharga.Jika skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim benar-benar berhajat mahu menjulang Liga Super musim ini, ada baiknya mereka kembali bangkit mencatatkan kemenangan ketika berdepan cabaran Selangor PKNS dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.


Sudah pasti, masalah ketumpulan jentera serangan Merah Kuning menjadi agenda utama yang bermain di fikiran Irfan supaya dapat mengejar Perak yang kini cukup selesa menerajui liga dengan 15 mata.


Dengan purata hanya satu gol satu perlawanan apabila sekadar meledak enam jaringan sepanjang enam aksi Liga Super setakat ini, keupayaan jentera serangan Selangor menemui sentuhan penyudah berkesan sememangnya dilihat begitu meragukan.


Selain itu, masalah 'tidak tahu hujung pangkal' berhubung Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) yang mengekang penyerang import dari Croatia, Bosko Balaban daripada menyarung jersi Selangor setakat ini juga perlu segera 'ditebus' oleh tidak kira mana-mana penyerang tempatan yang diturunkan Irfan malam ini.


Baik Amri Yahyah, Safiq Rahim, Amirulhadi Zainal, Fitri Shazwan mahupun Azidan Sarudin, masing-masing perlu melunaskan tanggungjawab merobek gawang PKNS jika tidak mahu berterusan berputih mata.


"Saya mahu penyerang tempatan membuktikan kemampuan mereka meledak gol ketika menentang PKNS (malam ini) meskipun tanpa kehadiran Balaban," tegas Irfan sebelum ini.


Difahamkan, Balaban, 34, berdepan sedikit kesukaran bersama bekas kelabnya, Panionios FC berhubung isu tersebut dan masih diuruskan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dengan kadar segera.


Selangor ketika ini mengutip sembilan mata, empat mata di depan anak buah Abdul Rahman Ibrahim yang ketika ini masih bergelut di kelompok bawahan liga apabila sekadar mengutip lima mata.


Walaupun merupakan satu-satunya pasukan yang berjaya menewaskan Perak setakat ini apabila menang tipis 1-0 sebelum ini, Irfan begitupun menganggap itu cerita berbeza dan masih belum mahu menekan butang panik.


"Saingan liga masih panjang, kita fokus satu demi satu perlawanan terlebih dahulu bagi mengejar semula pasukan Perak yang kini selesa menerajui liga.


"Yang paling utama, bahagian serangan perlu memanfaatkan semua peluang terhidang menjadi cetakan gol yang cukup bermakna selain benteng pertahanan juga diingatkan supaya tidak mudah alpa bagi mengelak dijerat PKNS," katanya optimis.


Selepas menentang PKNS, Selangor bakal melayan kunjungan Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa depan.