February 15, 2012

Milan Mahu Rebahkan Gunners



MILAN - AC Milan berhasrat untuk menewaskan kelab England buat pertama kali sejak kali terakhir mengalahkan Liverpool di pentas final Juara-Juara Liga lima tahun lalu.


Milan melaungkan semangat sedemikian menjelang pertemuan menentang Arsenal pada aksi pertama pusingan kalah mati di San Siro awal pagi esok.


Selepas menang 2-1 ke atas Liverpool pada aksi final di Athens lima tahun lalu, Milan dihimpit badi ketika berdepan kelab England apabila pernah dikecewakan Arsenal, Manchester United dan Tottenham Hotspur.


Malah, ketika beraksi dalam Liga Europa 2007, Milan yang telah merekodkan tujuh gelaran Eropah, sekadar seri ketika menentang Portsmouth pada peringkat kumpulan.


Selepas pertemuan menentang Arsenal pada 2008, kini Milan kembali menghadapi skuad kendalian Arsene Wenger itu.


Jurulatih Milan, Massimiliano Allegri telah mendapat tonik terbaik bagi menghadapi Liverpool apabila penyerang, Zlatan Ibrahimovic yang digantung tiga perlawanan sebelum ini akan kembali berada dalam kesebelasan utamanya.


Allegri juga boleh menghela nafas lega apabila Alexandre Pato dan Kevin-Prince Boateng sudah pulih daripada masalah kecederaan.


"Ia cukup hebat apabila kami mencatatkan kemenangan ketika menentang Udinese pada aksi Serie A baru-baru ini.


"Kemenangan tersebut memberikan keseimbangan dan ketenangan kepada pasukan. Dengan berbekalkan barisan pemain sedia ada, kami yakin untuk mencatatkan kemenangan seterusnya," jelas Allegri. - Reuters