February 14, 2012

Mancini Mahu Berbaik Dengan Tevez



BIRMINGHAM - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini sedia menerima semula Carlos Tevez.


Dalam masa yang sama, Mancini sanggup melupakan persengketaan antara mereka asalkan penyerang itu memohon maaf.


Tevez tidak beraksi bersama City sejak enggan diturunkan ketika pasukannya tewas kepada Bayern Munich dalam aksi Liga Juara-Juara pada September tahun lalu.


Walaupun pernah mengeluarkan kenyataan betapa Tevez tidak lagi akan bersama skuad kendaliannya, nada Mancini akhirnya berbeza sebaik City menewaskan Aston Villa 1-0 dalam aksi Liga Perdana England awal pagi semalam.


"Saya mudah memaafkan orang lain. Segala-galanya terpulang kepada Tevez. Dia tahu segala-galanya yang berlaku.


"Dia tetap pemain City. Sepanjang tiga bulan ini, kami sentiasa ternanti-nantikan kepulangannya.


"Adalah sesuatu yang normal jika Tevez memohon maaf. Selepas memohon maaf, Tevez boleh berlatih semula dan besar kemungkinan akan diturunkan sekiranya prestasinya bagus," katanya.


Dalam pada itu, Mancini memuji persembahan anak-anak buahnya selepas jaringan Joleon Lescott pada babak kedua menjamin kemenangan City, sekali gus membolehkan mereka kembali menerajui takhta liga.


"Saya puji kesemua pemain kerana mereka mempamerkan aksi yang menakjubkan.


"Sukar sebenarnya menentang Aston Villa di tempat mereka kerana mereka adalah pasukan yang bagus.


"Adalah sesuatu yang cukup berisiko jika gagal menjaringkan gol kedua apabila berdepan pasukan seperti mereka," katanya.


Jelas Mancini, perlawanan-perlawanan selepas itu amat penting untuk mereka menjarakkan diri daripada seteru utama, Manchester United.


"Ia merupakan ujian buat kami, terutamanya berdepan dengan situasi yang mana begitu ramai pemain cedera serta digantung perlawanan.


"United memang pasukan yang lebih hebat berbanding kami, mereka telah memenangi segala-galanya dalam tempoh sedekad ini. Jadi, kami tidak boleh leka."- AFP