February 13, 2012

Kemenangan 5-0 Jadi Sokongan Moral Spurs



LONDON - Harry Redknapp mengharungi minggu paling luar biasa dalam kariernya apabila membawa Tottenham Hotspur membelasah Newcastle United 5-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, semalam.


Kejayaan itu dilakar ketika Redknapp kini dalam dilema ekoran menerima banyak permintaan untuk menjadi pengurus England.


Begitupun, keadaan itu tidak terganggu tumpuannya di White Hart Lane, sebaliknya Spurs mengharungi satu perlawanan menghiburkan, malah mendahului 4-0 pada separuh masa pertama.


Emmanuel Adebayor mengetuai kesungguhan tuan rumah untuk mencari kemenangan apabila terlibat dalam semua lima gol yang diperoleh Spurs, dua daripadanya dalam tempoh enam minit babak pertama.


Peminat dan pemain yang berdepan prospek bakal kehilangan pengurus kesayangan mereka itu, meluahkan perasaan dalam perlawanan semalam.


Penyokong Spurs melaungkan perkataan: "Kami mahu kamu kekal" kepada pengurus berusia 64 tahun itu yang telah membawa perubahan besar kepada pasukan, manakala pemain memberi satu persembahan paling hebat buat jurulatih kelahiran England itu.


Dalam perlawanan semalam, Benoit Assou-Ekotto dan Louis Saha meletakkan tuan rumah 2-0 menerusi jaringan seawal minit keempat dan keenam, sebelum Saha meledak gol kedua peribadinya dan ketiga buat pasukan pada minit ke-20.


Gerakan cantik Adebayor yang menghantar bola dari sayap kanan membolehkan Niko Kranjcar menambah gol keempat Spurs pada minit ke-34.


Selepas cemerlang mencipta gerakan kepada semua gol yang diperoleh pasukannya di babak pertama, Adebayor sendiri memahat nama sebagai penjaring dan melengkapkan pesta gol Tottenham pada minit ke-65.


"Persiapan kami untuk menghadapi perlawanan ini amat sukar.


"Kami berdepan ujian besar sepanjang minggu ini, terutama selepas saya dikaitkan dengan kemungkinan meninggalkan pasukan untuk menyertai England.


"Saya tidak mahu melibatkan orang lain dalam masalah.. masalah saya (termasuk perbicaraan lari daripada cukai), begitu pun semua orang di sini tetap mengambil berat masalah saya kerana menganggap kami adalah sebuah keluarga.


"Namun malam ini, pemain membuang semua kesukaran dan ujian yang menimpa dengan memberikan satu persembahan yang menakjubkan. Kami bukan saja menang, malah menang menerusi keputusan yang hebat,'' kata Redknapp.


Tegasnya lagi, beliau sentiasa fokus kepada apa yang sedang dilakukannya sekarang, terutama usaha untuk mencari tiket Liga Juara-Juara Eropah, musim depan.


"Kami mahu bermain di Eropah, kami akan terus fokus ke arah itu,'' katanya.


Spurs kini menghuni tangga ketiga liga, hanya lima mata dipisahkan di belakang pendahulu, Manchester United dan empat mata di belakang Manchester City.


Pasukan itu bagaimanapun jauh meninggalkan dua pasukan