February 13, 2012

Kebangkitan AC Milan



MILAN: AC Milan bangkit dengan persembahan menakjubkan dengan gol daripada Maxi Lopez dan Stephan El Shaarawy untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas pencabar kejuaraan Udinese, kelmarin dan mara ke puncak Serie A Itali sekalipun tanpa kelibat penyerang bintang, Zlatan Ibrahimovic. 


Dengan perlawanan di antara Juventus dan Bologna dijangka ditangguhkan akibat salji tebal, Milan tidak mempersia-siakan kelebihan menambah kelebihan dangan dua mata di atas pencabar dari Turin itu sekalipun ketinggalan selepas 19 minit perlawanan bermula selepas rembatan Antonio Di Natale terkena Thiago Silva untuk menerjah gol.


Lopez yang disambar dari Catania bulan lalu selepas cubaan Milan untuk mendapatkan Carlos Tevez dari Manchester City gagal meledak gol pertamanya 12 minit selepas dimasukkan sebagai pemain gantian.


Dan pemain remaja yang memiliki darah campuran Itali-Mesir El Shaarawy, yang diletakkan dalam kesebelasan utama bagi menggantikan Ibrahimovic, menjadi watak penting kepada jaringan Lopez sebelum bergandingan sekali lagi untuk gol peribadi lima minit sebelum perlawanan tamat. 


“Saya bukan hanya memenuhkan pasukan. Saya amat gembira kerana dapat menjaringkan gol untuk pasukan yang sentiasa menjadi idaman saya,” kata Lopez. - Agensi