February 10, 2012

Gunners Tunggu The Black Cat



LONDON - Jaringan Stephane Sessegnon pada masa tambahan membawa Sunderland ke pusingan kelima Piala FA selepas menundukkan Middlesbrough 2-1 dalam perlawanan ulangan, semalam.


Sunderland akan berdepan Arsenal pada pusingan kelima.


Selepas perlawanan pertama dua minggu lalu terikat 1-1, saingan semalam tampak seperti turut berlarutan dengan keputusan seri dan berpotensi ditentukan menerusi penalti apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 sebaik tamat 90 minit permainan.


Namun rembatan kaki kanan pemain antarabangsa Benin, Sessegnon pada minit ke-113 melepasi jangkauan penjaga gol Middlesbrough, Jason Steele, sekali gus membawa pasukannya meneruskan kemaraan.


Sunderland yang semakin menunjukkan kebangkitan sejak diambil alih Martin O'Neill, Disember lalu mendominasi awal permainan, tetapi terpaksa menanti hingga minit ke-42 untuk membuka jaringan.


Penyerang Fraizer Campell yang menjaringkan gol tunggal Sunderland dalam perlawanan pertama, dua minggu lalu sekali lagi menjadi penyumbang gol pembukaan selepas mencipta gerakan cantik untuk disempurnakan pemain tengah, Jack Colback.


Middlesbrough menyamakan kedudukan 11 minit memasuki separuh masa kedua selepas Lukas Jutkiewicz pantas merembat bola lantun dalam kotak penalti. - Reuters