February 13, 2012

Ferguson Nasihat Liverpool Supaya Jual Suarez



MANCHESTER - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson menegaskan, Liverpool patut menjual Luis Suarez dan memastikan dia tidak bermain lagi untuk kelab tersebut selepas penyerang Uruguay itu enggan menyambut salam Patrice Evra.


Kemarahan Ferguson timbul selepas dua musuh ketat itu bertemu di Old Trafford kelmarin, yang menyaksikan United menang 2-1 hasil dua jaringan Wayne Rooney.


Dalam perlawanan itu, Suarez enggan menyambut salam kapten United, Evra ketika pemain bersalaman sebelum memulakan saingan. Ferguson kemudian membuat rayuan agar bola sepak Inggeris membuang pemain yang telah dilabel sebagai perkauman daripada negara itu.


Suarez membuat penampilan pertama sejak digantung lapan bulan oleh Persatuan Bolasepak (FA) kerana didapati bersalah menghambur kata-kata perkauman terhadap Evra dalam perlawanan kedua-dua pasukan, Oktober lalu.


Sebelum perlawanan bermula, Suarez enggan menyambut salam Evra ketika kedua-dua pasukan bersalaman, dan sebagai respons, pertahanan United, Rio Ferdinand enggan menyambut salam Suarez, sekali gus menimbulkan suasana tegang.


Evra dilaporkan tidak puas dengan penyerang Liverpool itu apabila meluru ke arahnya ketika pemain memasuki bilik persalinan pada rehat separuh masa.


Sejurus tamat perlawanan, Evra sengaja menyemarakkan kemarahan lawan dengan meraikan kemenangan secara berlebihan di depan Suarez dalam cubaan menghina pemain tersebut.


"Untuk sebuah kelab yang kaya dengan sejarah, saya pasti akan singkirkan dia, saya pasti melakukannya.


"Kelab Bolasepak Liverpool memiliki pemain yang digantung lapan perlawanan dan mereka cuba menyalahkan Patrice Evra. Dia (Suarez) yang sepatutnya dipersalahkan kerana pemain itu menyebabkan mereka mungkin tidak mendapat tempat di Eropah.


"Saya ada bercakap dengan Patrice sebelum perlawanan, dia beritahu saya bahawa dia sedia bersalam dengan pemain itu.


"Dia (Suarez) memalukan Liverpool. Pemain seperti itu tidak patut dibenarkan bermain untuk mereka lagi. Dia boleh menimbulkan pergaduhan, saya benar-benar kecewa,'' kata Ferguson.


Ferguson tetap menyalahkan Suarez sekali pun Ferdinand juga bertindak buruk apabila enggan menyambut salam Suarez dengan menegaskan, pemain Uruguay itu yang telah menimbulkan suasana tegang di Old Trafford. - AFP