February 10, 2012

Dendam Selangor Tidak Terbalas



DENDAM kesumat Gergasi Merah, Selangor selama 18 tahun terhadap musuh tradisi, Singapura jelas belum ternoktah apabila sekadar seri 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin.


Meskipun menguasai sebahagian besar permainan, ketumpulan jentera serangan Merah Kuning dalam perlawanan itu sememangnya meresahkan jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim.


Menurut beliau, ketiadaan penyerang import, Bosko Balaban dari Croatia yang sehingga kini masih belum pasti dapat diturunkan atas sebab tertentu sememangnya dirasai dalam perlawanan kelmarin.


Namun pada masa sama, Irfan juga tidak dapat menyembunyikan kekecewaan apabila 'masalah pencetak gol' yang menghantui pasukannya musim ini masih belum berakhir apabila beberapa pemain seperti Amri Yahyah, Safiq Rahim, Fitri Shazwan dan Amirulhadi Zainal juga buntu dalam usaha merobek gawang lawan.


"Saya akui, barisan depan Selangor sedikit meragukan berbanding bahagian tengah dan pertahanan, jadi masalah ketumpulan jentera penyudah ini perlu diatasi segera supaya kami tidak lagi keciciran mata penting jika berhajat untuk mendakap Liga Super musim ini," katanya kepada Kosmo! semalam.


Dalam perlawanan kelmarin, Lions XII terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-43 apabila kapten, Mohd. Shahril Ishak bijak mengatasi perangkap ofsaid pasukan tuan rumah sebelum merembat deras melepasi jangkauan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.


Kegembiraan pasukan pelawat begitupun tidak bertahan lama apabila rembatan deras K. Gurusamy dari luar kotak penalti hasil umpanan Amri terus menerjah jaring seminit kemudian.


Dengan keputusan itu, Selangor kini menghuni tangga keenam Liga Super dengan sembilan mata, satu mata di depan Lions XII di tangga keenam.


Untuk rekod, kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) adalah pada separuh akhir Piala Malaysia 1994 apabila Singapura memenangi perlawanan tersebut dengan agregat 3-2 sebelum muncul juara buat kali terakhir setelah menewaskan Pahang 4-0 di pentas final.


Selepas itu, kedua-dua pasukan hanya bertemu pada perlawanan persahabatan Piala Sultan Selangor setelah Singapura mengambil keputusan keluar daripada Liga-M setahun kemudian gara-gara tidak berpuas hati dengan isu pengagihan levi tiket.


Mengulas lanjut, Irfan memberitahu, pasukannya mahu menebus kekecewaan apabila berdepan cabaran Selangor PKNS di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam esok.


"Walaupun Balaban masih belum pasti dapat diturunkan ketika menentang PKNS nanti, saya mahu semua pemain tidak berputus asa."