February 11, 2012

Capello Bakal Latih Chelsea, AVB Tenang



LONDON - Nama bekas pengurus England, Fabio Capello timbul sebagai calon mengejut menggantikan Andre Villas-Boas di Chelsea.


Peletakan jawatan Capello secara tidak langsung membuatkan Villas-Boas, yang kurang menyerlah sejak mengambil alih Blues awal musim ini, tidak senang duduk.


Khabar angin tercetus di Stamford Bridge mengenai kemungkinan bekas bos AC Milan, Roma dan Real Madrid itu dilantik selaku pengurus kelapan Chelsea dalam tempoh lapan tahun.


Satu sumber Chelsea berkata: "Ada ura-ura mengatakan Capello akan menjadi pengurus Chelsea dan ia mungkin berlaku dalam tempoh terdekat."


Villas-Boas jelas berada dalam keadaan tertekan dengan pemilik kelab, Roman Abramovich dilihat kerap turun padang untuk memantau sendiri latihan pasukan selain mengadakan perbincangan dengan pengurus dari Portugal itu.


Ia bukan kali pertama bilionair Rusia itu memikat pengurus England.


Pada 2003, dia pernah cuba memancing Sven Goran Eriksson ketika menikmati kemuncak popularitinya, sebelum melakukan cubaan kedua setahun kemudian.


Keputusan seri 3-3 dengan Manchester United, biarpun satu ketika selesa mendahului 3-0 menampakkan lagi kemerosotan berterusan Chelsea di bawah kendalian Villas-Boas, yang berusia 34 tahun.


Manchester City, United dan Tottenham semakin menjarakkan kedudukan dengan Chelsea dan sedang mengekori rapat adalah Arsenal, Liverpool dan Newcastle.


Sekiranya keadaan tidak berubah, Chelsea tentunya berdepan risiko terlepas tiket Liga Juara-Juara musim depan.


Kesabaran Abramovich sukar dibendung apabila mengambil keputusan untuk campur tangan sehingga turun padang.


Villas-Boas menegaskan dia tidak bimbang dengan berkata: "Kehadiran pemilik tidak mengganggu. Anda boleh buat apa jua spekulasi namun kehadirannya adalah perkara yang baik." - Agensi