February 14, 2012

Barcelona Laung Amaran Tebus Maruah



LEVERKUSEN - Barcelona bersedia bangkit daripada kekalahan liga domestik menjelang aksi pertama pusingan kalah mati Liga Juara-Juara menentang Bayer Leverkusen awal pagi esok.
Terdahulu, Barcelona dikejutkan dengan kekalahan 2-3 kepada Osasuna dalam aksi Liga Sepanyol, sekali gus menyaksikan mereka ketinggalan 10 mata di belakang seteru utama, Real Madrid.
Sudah pasti, skuad The Catalan mahu menebus kekecewaan itu dengan menjadikan Leverkusen sebagai mangsa dan ia juga diakui oleh jurulatihnya, Pep Guardiola.
"Kami datang ke sini (Leverkusen) bagi mempertahankan maruah kami selaku juara bertahan (Liga Juara-Juara).
"Aksi separuh masa kedua ketika menentang Osasuna tempoh hari perlu diulangi semula, begitulah cara kami bermain selaku juara," kata Guardiola.
Begitupun, pemergian Barcelona ke Leverkusen tidak disertai Sergio Busquets yang terpaksa diketepikan gara-gara kecederaan dan posisinya dijangka diambil alih oleh Javier Mascherano.
Sementara itu, Leverkusen yang tewas 0-1 kepada Borussia Dortmund dalam aksi Liga Jerman kelmarin juga berdepan masalah sama apabila 'kuda tua', Michael Ballack mengalami kecederaan semasa latihan semalam.
Masa depan Ballack, 35, sebelum ini menimbulkan tanda tanya kerana dia gagal mempamerkan aksi memberangsangkan sejak tiba di Leverkusen pada 2010 dan dijangka berhijrah penghujung musim ini.
"Saya tetap yakin dengan kemampuan pasukan saya tetapi berdepan Barcelona, usaha sahaja tidak cukup," kata jurulatih Leverkusen, Robin Dutt.
"Kami perlu menyerang habis-habisan dan memanfaatkan setiap peluang memandangkan sukar mendapat peluang menyerang ketika menentang pasukan seperti Barcelona." - Reuters