February 15, 2012

Barcelona Akui Sukar Kejar Real Madrid



MADRID - Pengarah Sukan Barcelona, Andoni Zubizarreta menganggap peluang The Catalan untuk mengekalkan gelaran Liga Sepanyol musim ini makin sukar selepas ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu, Real Madrid.


Terdahulu, Real melebarkan jurang mata dengan Barcelona apabila menewaskan Levante, 4-2, manakala skuad kendalian Pep Guardiola tewas mengejut 2-3 kepada Osasuna.


"Persaingan liga semakin sukar buat kami sekarang. Real merupakan satu pasukan yang kuat," kata Zubizarreta.


"Kami akan sentiasa memberikan tekanan sekiranya Real tewas, kami mahu mengambil kesempatan itu. Jurang perbezaan mata makin jauh."


Setakat ini, Real beraksi cemerlang apabila sekadar keciciran lapan mata dengan dua kekalahan iaitu di tangan Levante dan Barcelona serta seri ketika menentang Racing Satander.


"Kami masih perlu mengutip mata sebanyak mungkin pada baki perlawanan akan datang.


"Saingan semakin sukar dan sengit kerana setiap pasukan berazam untuk mendapatkan mata berharga terutama pasukan yang ingin beraksi di pentas Eropah atau mengelak daripada menghuni zon penyingkiran, mereka sanggup mengambil risiko demi mata berharga.


"Masih ada 39 mata yang mana jika ditukarkan kepada perlawanan, kami harus mencatat 13 kemenangan dan ia satu situasi yang cukup sukar.


"Tetapi selepas mendahului 10 mata, kami memiliki sedikit ruang dan kami bertekad mengekalkan kedudukan itu," kata jurulatih Real, Jose Mourinho yang pernah menjulang gelaran Liga Perdana England dan Serie A. - AFP