February 11, 2012

£10m Untuk Redknapp Ganti Capello



LONDON – Kos untuk melantik Harry Redknapp sebagai pengurus England bakal mencecah 10 juta pound (RM50juta), itu pun sebelum Persatuan Bola Sepak England (FA) mula membayar gajinya.


Ketika melantik Redknapp sebagai pengendali Tottenham, pengerusinya Daniel Levy memasukkan klausa pelepasan bernilai 5 juta pound (RM23.95 juta) dalam kontraknya.


Selain pampasan tersebut, FA juga perlu membayar Spurs keseluruhan gaji pokok Redknapp yang bernilai 3.1 juta pound (RM14.85 juta) setahun dan masih lagi berbaki 15 bulan.


Redknapp dilihat FA sebagai calon paling sesuai sebagai pengendali baru Three Lions menjelang minggu depan.


Levy membayar yuran perpindahan 5 juta pound sewaktu membawa Redknapp ke White Hart Lane dari Portsmouth pada 2008, jadi dia mahu mengutip semula bayaran setimpal, andai pengurus kesayangannya itu pergi.


Reputasi Redknapp meningkat sebaik membimbing Spurs ke perlawanan akhir Piala Carling pada 2009 dan layak ke Liga Juara-Juara setahun kemudian.


Kelibat sulung Spurs pada saingan elit kelab Eropah, mencuri tumpuan dengan kejayaan mengejutkan Inter Milan, AC Milan sebelum tunduk kepada Real pada suku akhir.


Di bawah kendalian Redknapp, Tottenham terus cemerlang musim ini dengan kini menghuni tangga ketiga Liga Perdana, tujuh mata di belakang pendahulu Manchester City dan tujuh mata di hadapan Chelsea di tangga keempat. – Agensi