January 24, 2012

Wenger Pertahan Keputusan

LONDON - Arsene Wenger mempertahankan tindakannya yang menjadi punca Arsenal kalah 1-2 kepada Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, semalam.


Pengurus kelahiran Perancis itu melakukan kesilapan besar apabila membawa masuk pemain sayap Rusia, Andrey Arshavin menggantikan Alex Oxlade-Chamberlain pada hujung permainan.


Persembahan hambar Arsenal pada babak pertama dihukum oleh jaringan Antonio Valencia untuk meletakkan United di depan.


Namun skuad bimbingan Wenger yang dibelenggu kecederaan meraih gol penyamaan menerusi Robin van Persie selepas rehat.


Arsenal yang dilihat berpeluang mencatat kemenangan pada separuh masa kedua, namun dinafikan menerusi tindakan Wenger yang menggantikan Oxlade-Chamberlain yang memberikan persembahan dinamik pada penampilan sulung dalam kesebelasan utama Gunners.


Pemain itu beraksi cemerlang setelah menjadi perancang kepada jaringan Van Persie, akhirnya dikeluarkan dan digantikan dengan Arshavin.


Prestasi hambar yang dipamerkan bintang Rusia itu sejak 18 bulan lalu membangkitkan kemarahan penyokong Arsenal yang melepaskan kekecewaan mereka kepada Wenger.


Malah, kapten Gunners, van Persie dilihat menjerit 'tidak' sebagai isyarat membantah keputusan Wenger memasukkan Arshavin.


Lebih parah kesilapan Arshavin yang gagal mengawal Valencia, membolehkan pemain itu melakukan hantaran kepada Danny Welbeck untuk gol kemenangan pada minit ke-81, membuktikan mengapa penyokong berang.


Kekalahan itu mungkin bukan sesuatu yang memalukan berbanding sewaktu Arsenal dibelasah 8-2 di Old Trafford Ogos lalu.


Namun keputusan Wenger bercanggah dengan apa yang dimahukan oleh para pemain, juga penyokong.
"Saya faham mengapa penyokong kecewa terhadap pertukaran pemain yang saya lakukan, terutama sekali apabila ia tidak memberi kesan, tetapi dia (Oxlade-Chamberlain) mula menunjukkan tanda keletihan.


"Dia tidak berapa sihat minggu ini dan Arshavin pula merupakan ketua pasukan kebangsaan Rusia.


"Anda memiliki pemain muda berusia 18 tahun yang tampil pertama kali dalam kesebelasan utama Liga Perdana dan pemain yang mereka pertikai itu merupakan ketua untuk pasukan negaranya. Seriuslah sikit.


"Saya menjadi pengurus selama 30 tahun dan melakukan 50,000 pertukaran. Saya tidak perlu memberi penjelasan terhadap setiap keputusan yang saya buat kepada anda (wartawan).


"Penyokong membayar tiket dan meluahkan perasaan mereka. Kami perlu menghadapinya, tetapi tidak semestinya apa yang mereka fikir itu betul," kata Wenger. - AFP