January 15, 2012

Terengganu Garang Belasah Felda United


JUARA Piala FA, Terengganu bagai mendapat ‘tonik’ tambahan daripada keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melanjutkan tarikh pendaftaran import sehingga 13 Februari ini apabila tampil gah membenam FELDA United, 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Selepas bergelut dengan ‘konflik dalaman’ dengan FAM sebelum ini, skuad Peteh seperti cepat melupakan sengketa berkenaan dan kejayaan ini memberi 1,000 keceriaan kepada pengurusan dan penyokong setia mereka untuk melihat kebangkitan Terengganu.

Sebaik wisel permulaan ditiupkan, tuan rumah tidak menunggu lama dan terus melancarkan serangan ke kubu lawan sehingga minit ke-11 apabila pemain tengah, Ismail Faruqi merembat kencang untuk gol pendahuluan tuan rumah, 1-0.
Namun, usaha Terengganu menambah jumlah jaringan gol di separuh masa pertama gagal apabila mudah dipatahkan oleh barisan pertahan FELDA.

Pada babak kedua, anak buah Mat Zan Mat Aris tampil lebih garang memburu gol kedua tapi usaha serangan dilakukan masih gagal menemui sasaran.

FELDA yang bermain berbekal 10 pemain selepas pertahanan mereka Mohd Nazri Ahmad yang dilayangkan kad merah nyata memberi banyak kelebihan kepada tuan rumah untuk menambah jaringan.

Terengganu yang dahagakan kemenangan sulung musim ini terus menutup sisa perjuangan FELDA apabila penyerang berbisa, Ashaari Samsudin menambah dua lagi gol pada minit ke-73 dan 94.--Bharian