ALOR SETAR - Kelab Penyokong Bola Sepak Kedah
mahu semua pihak termasuk Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA)
bertanggungjawab terhadap kemerosotan prestasi pasukan Hijau Kuning pada
permulaan Liga Super musim ini.
Presidennya, Nor Hasmadi Hamzah berkata, tidak wajar jika pengurus
pasukan, Datuk Khazali Din seorang diri dipersalahkan di atas aksi
longlai skuad Kenari yang kini menghuni tangga kedua tercorot Liga
Super.
Ini kerana katanya, aspek pengurusan daripada badan induk iaitu KFA
mesti diambil kira selain segala keputusan termasuk pemilihan,
kesebelasan pemain dalam setiap perlawanan dibuat secara bersama, sama
ada secara terus atau di belakang tabir.
"Semua pihak yang membentuk sebuah pasukan dari pengurusan sehingga
ke panel jurulatih dan pemain perlu bertanggungjawab. Tidak adil jika
apabila kalah, Khazali seorang menanggungnya tetapi bila menang, ramai
yang mendapat nama.
"Desakan yang mahu beliau melepaskan jawatan bukan jalan penyelesaian
terhadap kemerosotan prestasi pasukan Kedah pada masa ini. Jika ingin
membuat rombakan, ia perlu menyeluruh," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Khazali berdepan dengan desakan segelintir penyokong yang mahu beliau
berundur ekoran aksi longlai skuad Kenari yang bukan sahaja gagal
mencipta kemenangan, malah gagal menjaringkan sebarang gol dalam empat
perlawanan Liga Super.
Menurut Nor Hasmadi, sebagai sukan No. 1 penduduk negeri jelapang
padi ini, KFA perlu memandang serius kemerosotan persembahan skuad bola
sepak Kedah dengan memainkan peranan yang lebih aktif terhadap pasukan.
Katanya, KFA tidak seharusnya hanya menumpukan kepada aspek
pengurusan dan melepaskan tanggungjawab di atas padang sepenuhnya kepada
panel jurulatih, kerana semua pihak perlu terlibat secara menyeluruh
dan memainkan peranan masing-masing dengan berkesan.
"Kami mendesak supaya Presiden KFA sendiri turun padang bagi memantau
secara dekat apa yang berlaku dalam pasukan bola sepak Kedah," katanya.