January 19, 2012

Spurs Anak Ayam?



LONDON - Pemain pertahanan Manchester City, Joleon Lescott seakan-akan cuba untuk memperlekehkan kemampuan Tottenham Hotspurs dalam perebutan trofi Liga Perdana England musim ini.
Pemain pertahanan City itu menganggap Spurs bukan ancaman besar kepada kelabnya itu.
Spurs yang akan berkunjung Stadium Etihad pada Ahad ini, berpeluang untuk berkongsi mata dengan pendahulu liga itu sekiranya berjaya menewaskan Wolverhampton Wanderers hujung minggu lalu.
Bagaimanapun, sebaliknya yang berlaku dan Spurs terpaksa mengembara ke Manchester dengan ketinggalan lima mata di belakang City.
Sekiranya kemenangan terus memihak kepada City, skuad bimbingan Harry Redknapp yang kini berada di tangga ketiga liga itu akan terus ketinggalan.
Mereka perlu bekerja keras untuk mengejar kembali kedudukan City ketika saingan musim ini masih berbaki tiga bulan lagi.
Namun bagi Lescott, 29, peluang yang ada pada Tottenham langsung tidak memberi tekanan kepada pasukan itu kerana apa yang lebih dirisaukan sekarang ialah mengekalkan kedudukan mereka.
Bintang England itu berkata, menewaskan Tottenham pada hujung minggu ini akan melebarkan jurang antara kedua-dua kelab tersebut.
"Tetapi kita bukan tidak menghormati Spurs, kami lihat Manchester United sebagai pencabar utama kerana mereka berada di tempat kedua liga.
"Kami perlu memberi tumpuan kepada pasukan yang berada di belakang kita dan buat masa ini kelab tersebut ialah United.
"Seperti mana penting untuk memungut mata dan mencipta jurang yang besar dengan Spurs, ia lebih penting untuk merampas takhta dari Manchester United," kata Lescott.
City terus melebarkan sayapnya selepas melakar kejayaan dan memungut tiga mata penuh selepas menewaskan Wigan Athletic 1-0 di Stadium DW pada Isnin lalu. - Kosmo