January 21, 2012

RM149 Juta Untuk Tevez



PARIS - Carlos Tevez bersedia menerima gaji 43 juta pound (RM206 juta) jika usaha Paris Saint Germain (PSG) untuk membelinya daripada Manchester City menerusi yuran perpindahan 31 juta pound (RM149 juta) mencapai persetujuan.

Keseluruhannya, PSG perlu mengeluarkan 74 juta pound (RM355 juta) untuk membawa penyerang antarabangsa Argentina itu keluar dari City.

Gergasi bola sepak Perancis itu mencadangkan perjanjian 3 tahun setengah untuk khidmat Tevez, yang dilabel pemberontak dalam City dengan menawarkan gaji 10 juta pound (RM48 juta) setahun, iaitu menyamai apa yang dinikmati penyerang tersebut di City.

Selain menerima gaji lumayan, Tevez juga akan menerima 8.3 pound (RM40 juta) daripada yuran perpindahan.

Sebelum ini, usaha dua gergasi bola sepak Itali, Inter Milan dan AC Milan untuk mendapatkan penyerang berusia 27 tahun itu menemui kegagalan.

PSG bagaimanapun dikatakan sudah melengkapkan rundingan dengan penasihat Tevez, Kia Joorabchian.

Kini, mereka hanya perlu mendapatkan persetujuan akhir daripada pemain itu, yang pada mulanya lebih berminat untuk beraksi dalam Serie A, sama ada bersama AC atau Inter Milan.

"Semua orang tahu kami memerlukan penyerang. Carlos Tevez ? Ia adalah peluang terbaik buat kali untuk mendapatkan seorang penyerang yang hebat," kata pengurus PSG, Carlo Ancelotti - Utusan