January 23, 2012

QPR Keluar Zon Penyingkiran



LONDON - Mark Hughes mencatat kemenangan pertama dalam kariernya bersama QPR semalam, ketika skuad Hoops keluar dari zon penyingkiran dengan kemenangan 3-1 ke atas kelab tercorot Wigan.

Rangers, yang memasuki zon penyingkiran selepas kalah kepada Newcastle dalam perlawanan terakhir, agak gugup pada awal permainan namun akhirnya berjaya meraih gol untuk memberi tekanan kepada pengurus Wigan, Roberto Martinez.

Ketika QPR naik ke tangga ke-16 liga, Wigan semakin ketinggalan pada tangga tercorot liga dengan 15 mata.

Rangers mendahului pada minit ke-32 apabila pemain veteran Iceland, Heidar Helguson menyempurnakan penalti selepas bola terkena tangan James McCarthy di dalam kawasan penalti.

Rangers selesa pada penghujung babak pertama apabila sepakan bebas pemain Hungary, Akos Buzsaky menerjah jaring untuk kedudukan 2-0.

Namun Wigan bangkit selepas rehat dan anak buah Martinez membalas satu gol menerusi Hugo Rodallega untuk kedudukan 2-1 pada minit ke-66.

Penyokong QPR cemas apabila sepakan penalti kedua oleh Helguson dinafikan Ali Al-Habsi, untuk Wigan terus memberi tentangan.

Namun harapan Wigan untuk bangkit berakhir pada minit ke-81 apabila sepakan jarak jauh Tommy Smith menerjah gawang untuk kedudukan 3-1. - AFP