January 19, 2012

PSG, City Capai Persetujuan Untuk Tevez



PARIS - Penyerang Argentina, Carlos Tevez semakin hampir untuk menyertai pendahulu Ligue 1, Paris Saint Germain (PSG) selepas kelabnya, Manchester City mencapai persetujuan dengan gergasi bola sepak Perancis itu semalam, kata sumber PSG dan pemilik kelab, QSI.

PSG membuat tawaran untuk Tevez yang tidak lagi mendapat tempat dalam City sejak menolak untuk beraksi dalam satu perlawanan pada saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Namun dia masih memiliki tiga tahun setengah kontrak bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu.
Perjanjian tersebut bergantung kepada persetujuan penyerang berusia 27 tahun itu yang sudah terbang ke Paris semalam untuk berunding.

Ironiknya, percubaan Tevez untuk berhijrah ke juara Serie A, AC Milan minggu lalu menemui kegagalan selepas penyerang Milan, Alexandre Pato menolak untuk berpindah ke PSG yang dilaporkan melibatkan perjanjian 28 juta euro (RM111.6 juta).

Pengarah Sukan PSG, Leonardo sudah lama berminat untuk mendapatkan khidmat bekas penyerang Lazio, Manchester United serta Boca Juniors itu.

Dia gembira dapat memperbaharui rundingan ekoran persengketaan yang berlaku di antara Tevez dan pengurus City, Roberto Mancini.

Sejak kemasukan Carlo Ancelotti ke PSG pada penghujung Disember, jurulatih dari Itali yang telah memiliki dua kejuaraan Liga Juara-Juara itu telah menuntut kelab untuk membawa masuk beberapa penyerang kelas dunia yang memiliki pengalaman.

Tevez meraih kejayaan bersama setiap kelab yang disertai, meskipun tidak pernah tinggal lama dalam sesuatu pasukan.
Dia pernah menjulang Copa Libertadores dan Piala Intercontinental Cup, yang kini dikenali sebagai Piala Kelab Dunia bersama kelab Argentina, Boca Juniors pada 2003 hingga mendapat jolokan 'the people's player' dari peminat.

Dia kemudian berpindah ke kelab Brazil, Corinthians dan membawa mereka muncul juara liga sebelum menyertai West Ham dalam Liga Perdana, di mana dia merobek gawang Manchester United dalam perlawanan terakhir musim.

Aksi cemerlangnya bersama West Ham menarik perhatian United dan dia menyertai gergasi Liga Perdana itu pada 2008, membantu mereka menjulang Liga Juara-Juara Eropah, mengalahkan Chelsea dalam penentuan sepakan penalti, sebelum mencetus kontroversi berpindah ke City. - Utusan