January 21, 2012

Pepe Minta Maaf Pada Messi



MADRID – Pemain pertahanan Real Madrid, Pepe meminta maaf kepada Lionel Messi kerana memijak tangan penyerang Barcelona itu ketika pasukannya kalah 1-2 dalam perlawanan Piala Raja Sepanyol kelmarin.

Menurut Pepe, dia tidak berniat untuk berbuat demikian.

“Apa yang dapat saya katakan ia adalah tindakan yang tidak disengajakan.

“Jika Messi tersinggung, saya meminta maaf kerana saya cuma mempertahankan pasukan dan kelab.

“Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk mendatangkan kecederaan kepada pemain yang sesama profesional,” katanya dalam laman web Real Madrid.

Pepe menerima kad kuning awal ketika mereka kalah kelmarin apabila dia merempuh Sergio Busquet, namun dia tidak dikenakan tindakan oleh pengadil kerana memijak tangan Messi, ketika pemain Barcelona itu terbaring di atas padang.

Suatu ketika Pepe juga rebah di atas padang sambil menutup muka dengan tangan selepas dikasari Cesc Fabregas.

Namun ulang tayang menunjukkan pemain tengah Barcelona itu langsung tidak menyentuhnya.

Tindakan Pepe, terutama corak permainan bertahan Madrid dikritik media Sepanyol. – Utusan