January 16, 2012

Pemain Muda Mendapat Pujian Azraai



PENGENDALI skuad Negeri Sembilan, Mohd. Azraai Khor Abdullah memuji aksi barisan pemain muda pasukan itu selepas berjaya menundukkan Johor FC 2-0 di Stadium Pasir Gudang kelmarin.
Mohd. Azraai berkata, beliau bersyukur kerana berjaya meraih tiga mata berharga walaupun hanya menyasarkan untuk mengutip satu mata pada perlawanan di tempat lawan itu.
Katanya, beliau sedar skuadnya kurang berpengalaman kerana rata-rata dibarisi pemain-pemain muda berbanding Johor FC yang lebih berpengalaman.
"Sebelum ini, kami kehilangan dua tonggak utama iaitu Idris Karim dan Shukor Adan akibat kecederaan, sekali gus memaksa saya membuat beberapa perubahan drastik dengan memanggil beberapa pemain muda termasuk dari skuad Piala Presiden.
"Bagaimanapun, pemain muda yang ditugaskan menggantikan tempat pemain senior ini menunjukkan persembahan yang mantap dan mampu menggalas tugas yang diamanahkan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Ujar Azraai lagi, kritikan sesetengah pihak bahawa skuad Hoben Jang Hoben itu hanya mengharapkan sentuhan berbisa pemain import, Effa Owana juga meleset apabila pemain muda, Ahmad Shakir Md. Ali yang muncul wira apabila menyumbat dua gol.
Katanya, dalam perlawanan tersebut jelas menunjukkan skuad negeri itu mempunyai kestabilan di setiap posisi dan tidak mengharapkan pemain tertentu sahaja.
"Kita baharu bermain tiga perlawanan kompetitif dan saya yakin persefahaman serta persembahan pasukan akan meningkat lagi dalam perlawanan akan datang," katanya.
Menurut Azraai, skuadnya mungkin akan menerima berita gembira apabila dua pemain senior, Shukor dan Idris telah turun memulakan latihan semalam.
"Pasukan perubatan kita akan memantau keadaan kedua-dua pemain ini sama ada mereka sudah sembuh sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami atau tidak.
"Kalau mereka sudah cergas, ini merupakan berita gembira dan satu perangsang untuk pasukan menjelang perlawanan menentang Perak nanti," ujarnya.--Kosmo